Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 di Miri catat penyertaan tertinggi | Madani News

Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 di Miri catat penyertaan tertinggi

Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 di Miri catat penyertaan tertinggi

PENGANJURAN kejohanan Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 buat pertama kalinya di Malaysia Timur mendapat sambutan luar biasa apabila Kelab Golf Miri menjadi tuan rumah bagi pusingan keempat siri tersebut.

Kejohanan sehari itu menyaksikan penyertaan penuh seramai 116 pemain pada sesi petang, manakala 56 lagi pemain tambahan mengambil bahagian dalam sesi pagi yang dibuka khas bagi memenuhi permintaan tinggi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pemain seramai 172 orang, sekali gus mencatat rekod tertinggi dalam siri kejohanan tahun ini.

Menurut Vasudevan Krishnan, Pengarah Urusan Prestige Golf Sdn Bhd yang juga rakan kongsi Bridgestone Golf di rantau ini, sambutan di Miri membuktikan bahawa komuniti golf di Malaysia Timur sangat aktif dan bersemangat.

JUARA kedua-dua kategori Gross dan Net bergambar dengan pemenang lain.

“Kami amat teruja dengan sokongan padu daripada para pemain di Miri. Kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa peranan penting Encik Lee Kah Ching, Pengarah Urusan LT Golf Shop yang mempunyai hubungan erat dengan komuniti golf tempatan,” katanya.

Kejohanan yang menggunakan format Stableford 18 lubang itu berlangsung di padang golf pesisir pantai yang mencabar dan menarik di Miri Golf Club, Sabtu lepas. Para peserta turut menerima beg cenderamata eksklusif Bridgestone bernilai lebih RM500 yang mengandungi pakaian kejohanan, sarung tangan, topi dan bola golf Bridgestone Extra Soft.

Acara turut dimeriahkan dengan hadiah hole-in-one di lima lubang serta cabutan bertuah, sebelum ditutup dengan majlis penyampaian hadiah.

Yew Wen Jaan (hcp 17) dinobatkan sebagai Juara Nett Lelaki, manakala Hassan Bin Rahmat (hcp 2) merangkul gelaran Juara Gross Lelaki, mengharumkan nama Malaysia Timur di laman sendiri.

Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada siri tahunan yang kini memasuki edisi kesembilan, dengan objektif utama memupuk perpaduan dan mengembangkan sukan golf dalam kalangan pemain amatur di Asia Tenggara.

Setelah kejayaan di Miri, siri Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 akan diteruskan ke lokasi-lokasi lain termasuk:

  • Permaipura Golf & Country Club, Kedah (3 Ogos)
  • Ayer Keroh Country Club, Melaka (6 September)
  • The Els Club Desaru Coast, Johor (13 September)

Kejohanan akan memuncak di Grand Final yang dijadual berlangsung pada 31 Oktober 2025 di Templer Park Country Club, Selangor.

Untuk maklumat lanjut atau pendaftaran, layari www.bridgestoneaseanamateur.com.

  • MADANI NEWS