UDA buka laluan juara boling muda dari komuniti B40

UDA Holdings Berhad terus memperkukuh komitmennya dalam membina masyarakat melalui sukan apabila tampil menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyasarkan bakat muda daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) untuk diketengahkan dalam sukan boling.
Menerusi program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara, seramai 30 pelajar sekolah rendah dari sekitar Ipoh telah dipilih menyertai latihan intensif selama 16 minggu di pusat boling Lite Superbowl JB9, Angsana Ipoh Mall – lokasi strategik milik UDA yang kini diposisikan sebagai hab komuniti dan pembangunan bakat tempatan.
“Boling adalah sukan yang memerlukan kos tinggi, menyebabkan ramai bakat muda dari keluarga kurang berkemampuan terpinggir. UDA mahu memecahkan halangan ini dan memberikan peluang sama rata kepada semua,” kata Pengerusi UDA, Tan Sri Mohd Annuar Zaini.
Menariknya, sesi latihan dikendalikan oleh bekas atlet kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, bersama dua jurulatih profesional tempatan. Mereka membawa pendekatan tersusun bukan sahaja untuk mencungkil bakat, tetapi membina jati diri, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
Projek yang bermula sejak Februari lalu turut membabitkan kerjasama erat dengan agensi-agensi seperti Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Majlis Sukan Negeri (MSN), Yayasan Perak, Perak Transit Berhad dan FND Empire Sdn Bhd.
Antara sumbangan utama termasuk pakaian sukan tajaan Yayasan Perak, pengangkutan percuma oleh Perak Transit, dan fasiliti latihan disediakan FND Empire. Semua ini menjadikan program ini model sinergi awam-swasta yang memberi impak sosial tinggi.
Kemuncaknya, Pertandingan Akhir dan Majlis Perasmian sempena Hari Sukan Negara akan diadakan pada 12 Oktober 2025, menandakan langkah penting ke arah melahirkan juara boling masa depan dari akar umbi masyarakat.
Untuk maklumat lanjut, layari www.uda.com.my atau media sosial rasmi UDA.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews