Perikatan Nasional takkan ada dua badan pimpinan – Muhyiddin | Madani News

Perikatan Nasional takkan ada dua badan pimpinan – Muhyiddin

Perikatan Nasional takkan ada dua badan pimpinan – Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan gabungan itu tidak akan menubuhkan majlis eksekutif baharu yang dikatakan bakal wujud bersama majlis tertingginya.

Menurut beliau, walaupun cadangan tersebut pernah dibangkitkan, PN hanya akan mengekalkan majlis tertinggi yang dianggotai semua presiden parti komponen.

“Majlis tertinggi masih kekal. Jadi soal majlis eksekutif tak berbangkit. Dia takkan ada majlis eksekutif dan majlis tertinggi. Tak boleh.

“Pasal walaupun ada cadangan, nampaknya tak ada perubahan. Kekallah dengan kedudukan majlis tertinggi di mana semua presiden parti duduk bersama-sama,” kata Muhyiddin dalam wawancara dengan portal berita Malaysia Gazette, yang disiarkan secara langsung di YouTube.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu sekali gus menolak dakwaan bahawa Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjadi dalang kepada cadangan itu.

Sebaliknya, katanya, PN bersetuju dengan cadangan PAS untuk membentuk Majlis Presiden sebagai platform penyelesaian terakhir dalam isu dalaman, termasuk rundingan kerusi pilihan raya.

Beliau memberi contoh bagaimana keputusan muktamad mengenai agihan kerusi yang tidak selesai akan diserahkan kepada presiden-presiden parti untuk diputuskan.

Terdahulu, timbul laporan bahawa PN dirancang untuk disusun semula dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa eksekutif diketuai Hamzah, sekali gus menjadikan beliau calon perdana menteri gabungan itu. Namun, dakwaan itu sudah dinafikan PAS, yang menegaskan PN kekal tertakluk kepada perlembagaan gabungan. – MADANI NEWS