Pearly Tan–M. Thinaah juara Japan Masters 2025, tundukkan pasangan tuan rumah
BEREGU wanita nombor satu negara, Pearly Tan–M. Thinaah kembali mencipta gemilang apabila muncul juara Japan Masters 2025, selepas menewaskan pasangan tuan rumah dan pilihan keempat, Rin Iwanaga–Kie Nakanishi, dalam aksi final penuh dramatik.
Kemenangan ini sekali lagi mengukuhkan status mereka sebagai antara gandingan paling konsisten dalam Jelajah Dunia BWF, selepas terlebih dahulu mengesahkan tiket ke BWF World Tour Finals 2025 di Hangzhou. Final di Japan Masters ini juga merupakan final ketujuh mereka dalam BWF World Tour musim 2025 — menjadikan mereka beregu wanita Malaysia pertama mencatat pencapaian sebegitu.
Pertemuan ini merupakan pertemuan ketiga kedua-dua beregu tahun ini, dengan Pearly–Thinaah sebelum ini menewaskan pasangan Jepun itu di final Arctic Open dengan kemenangan meyakinkan 21-7, 21-9.
Dalam aksi final di Tokyo, set pertama menyaksikan Pearly–Thinaah bangkit daripada ketinggalan 9-11 sebelum mengikat 20-20, dan akhirnya menutup set pembukaan dengan kemenangan sengit 22-20.
Set kedua pula memperlihatkan kebangkitan Iwanaga–Nakanishi, namun selepas menyamakan kedudukan 13-13, gandingan Malaysia memanfaatkan beberapa kesilapan lawan untuk memastikan kemenangan 21-19 bagi mengesahkan gelaran juara. – MADANI NEWS
