‘Tiada Bukti Kukuh’ – AG sahkan Namewee dibebas dengan jaminan polis esok
PENYANYI rap kontroversi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, bakal dibebaskan dengan jaminan polis esok, selepas siasatan setakat ini tidak menemui bukti yang mengaitkannya dengan kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yu-hsin.
Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini, dengan memaklumkan bahawa kertas siasatan polis tidak menunjukkan sebarang petunjuk langsung yang mengaitkan artis itu dengan kematian wanita berusia 33 tahun berkenaan.
“Arahan telah diberikan untuk siasatan lanjut dijalankan. Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan suspek terlibat dalam kematian si mati.
Namun, jika ada penemuan baharu hasil siasatan lanjut, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Menurut beliau, Namewee akan dilepaskan dengan jaminan polis esok sementara pihak berkuasa meneruskan beberapa lagi siasatan tambahan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, sebelum ini mengesahkan bahawa kertas siasatan kes berkenaan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Polis bagaimanapun masih menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis toksikologi untuk menentukan punca sebenar kematian Hsieh yang ditemui mati di dalam tab mandi sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu.
Kes yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh).
Individu Terakhir Bersama Mangsa
Namewee dilaporkan sebagai individu terakhir yang dilihat bersama mangsa sebelum kejadian tragis itu.
Beliau menyerah diri kepada polis pada 5 November lalu dan telah direman selama beberapa hari untuk membantu siasatan.
Walaupun dibebaskan esok, sumber memaklumkan siasatan terhadap kes ini masih tidak ditutup sepenuhnya, dan sebarang penemuan baharu boleh membawa kepada tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
INFO
- AG sahkan Namewee dibebaskan dengan jaminan polis esok
- Tiada bukti kukuh kaitkan dengan kematian pempengaruh Taiwan
- Polis masih tunggu laporan bedah siasat & toksikologi
- Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews
