“Malaysia miliki ramai pemain berbakat, mengkagumkan,” kata Gallifuoco
KUALA LUMPUR — Bek tengah KL City FC, Giancarlo Gallifuoco melabel bakat yang dimiliki skuad Malaysia B-23 sebagai luar biasa, sekali gus menyifatkan masa depan bola sepak negara berada di landasan positif.
Pandangan itu dizahirkan Gallifuoco selepas skuad negara menamatkan kempen Sukan SEA 2025 dengan meraih pingat gangsa, pencapaian yang dianggap signifikan buat bola sepak Malaysia. Kejayaan itu turut diserikan apabila penyerang KL City FC, Haqimi Azim Rosli muncul wira pasukan dengan meledak gol kemenangan dalam perlawanan penentuan.
Menurut Gallifuoco, kualiti pemain yang dimiliki Malaysia ketika ini mampu memberi impak besar kepada pembangunan bola sepak negara jika terus digilap secara konsisten.
“Saya sudah katakan sebelum ini dan saya akan mengulanginya lagi. Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat dan ia benar-benar mengagumkan.
“Tahniah kepada semua. Masa depan bola sepak Malaysia kelihatan cerah,” katanya menerusi satu hantaran di platform X.
Pingat gangsa yang diraih di Sukan SEA 2025 itu merupakan yang pertama buat skuad Malaysia B-23 sejak edisi 2005 di Bacolod, Filipina, selain menamatkan kemarau pingat pasukan berkenaan sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Pencapaian tersebut turut menjadi penebus kekecewaan skuad negara selepas gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 sebelum ini. – MADANI NEWS
