Orang Melayu hanya bersatu apabila terdesak – Tun Mahathir

TUN Dr Mahathir Mohamad melontarkan satu hakikat pedih mengenai perpaduan orang Melayu: mereka hanya bersatu apabila berdepan ancaman yang sama.
Bekas perdana menteri itu berkata, sejarah membuktikan bahawa penyatuan orang Melayu bukan datang dari kesedaran politik yang mendalam atau semangat kebangsaan yang tinggi, tetapi hanya berlaku apabila wujud cabaran besar yang mengancam kepentingan bersama – seperti penentangan terhadap Malayan Union.
“Sebelum itu, orang Melayu hanya kisah hal negeri masing-masing,” katanya dalam satu wawancara bersama Free Malaysia Today (FMT). “Mereka tubuhkan negeri-negeri kecil dengan raja masing-masing. Tidak ada satu negara Melayu.”
Mahathir mengimbas kembali peristiwa tahun 1909, ketika empat wilayah Melayu – Patani, Singgora, Menara dan Yala – diserahkan British kepada Thailand tanpa sebarang tentangan bermakna daripada mana-mana pihak.
“Sedangkan itu negeri Melayu,” katanya kesal.

Namun segalanya berubah apabila British mengusulkan penubuhan Malayan Union pada 1946 – satu langkah yang menyatukan semua negeri Melayu di bawah pentadbiran pusat, dan pada masa sama mengancam kedaulatan raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu. Ketika itulah, kata Mahathir, orang Melayu buat pertama kali bersatu kerana berdepan ancaman yang sama.
“Apabila mereka nampak masalah itu masalah bersama, barulah mereka cari jalan untuk memperkuatkan diri dengan bersatu padu.”
Bagi Mahathir, titik penyatuan ini bukan datang dari parti politik. Malah, beliau menegaskan, kewujudan pelbagai parti dengan agenda masing-masing hanya menambah perpecahan.
“Kita tidak boleh bersatu selagi ada banyak parti dengan objektif berbeza. Parti bukan jalan penyatuan. Ia cuma perebutan kuasa – siapa jadi perdana menteri, siapa pegang dasar apa.”
Mahathir menegaskan bahawa jika orang Melayu benar-benar mahu bersatu, mereka harus mencari satu matlamat yang sama dan cabaran bersama – bukan bergantung kepada payung parti.
Beliau turut menyentuh peribahasa Melayu ‘bersatu teguh, bercerai roboh’, yang menurutnya gagal dihayati oleh parti-parti politik Melayu hari ini.
“Saya yakin kalau kita sedar kita hadapi masalah yang sama, kita boleh bersatu. Tapi selagi parti jadi keutamaan, kita akan terus berpecah,” katanya.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews