Pearly-Thinaah cipta sejarah, Juara Thailand Open 2025 sejak diperkenalkan 1984

PASANGAN beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah melakar sejarah apabila muncul juara Thailand Open 2025, sekali gus menjadi beregu wanita pertama Malaysia yang memenangi kejohanan itu sejak ia diperkenalkan pada 1984.
Dalam aksi final yang berlangsung di Nimibutr Stadium, Bangkok, pasangan negara tampil cemerlang menewaskan beregu Korea Selatan, Jeong Na Eun dan Lee Yeon Woo dengan keputusan straight set 21-16, 21-16.
Pertarungan bermula sengit apabila pasangan Korea melancarkan serangan bertubi-tubi pada awal set pertama. Namun Pearly-Thinaah kekal tenang dan berjaya mengawal rentak permainan untuk memenangi set tersebut.
Set kedua menyaksikan skrip hampir sama apabila Jeong-Yeon Woo mendahului pada awal permainan. Tetapi wakil Malaysia berjaya memintas, mengekalkan momentum dan menamatkan perlawanan dengan penuh bergaya.
Kemenangan ini juga menandakan kali kedua Pearly-Thinaah menewaskan pasangan Korea itu, selepas kejayaan pertama mereka di Orleans Masters 2025.
Lebih manis, kejayaan kali ini menamatkan kemarau panjang negara dalam kategori beregu wanita di Thailand Open. Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia hanyalah selaku naib juara menerusi Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada edisi 2008.
Kejayaan ini bukan sahaja menjadi detik bersejarah dalam arena badminton tanah air, malah menjadi suntikan semangat penting buat Pearly-Thinaah yang kini diura-urakan untuk dunia badminton profesional.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews