Mahkamah tetapkan 30 September tarikh pengurusan kes saman Yusoff Rawther terhadap PM Anwar | Madani News

Mahkamah tetapkan 30 September tarikh pengurusan kes saman Yusoff Rawther terhadap PM Anwar

Mahkamah tetapkan 30 September tarikh pengurusan kes saman Yusoff Rawther terhadap PM Anwar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 September depan sebagai tarikh pengurusan kes saman dikemukakan bekas penyelidik, Muhammad Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kes saman itu berhubung insiden yang dikatakan berlaku sebelum Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Roz Mawar Rozain bagi membolehkan peguam mewakili Anwar dan Muhammed Yusoff memaklumkan kepada mahkamah mengenai status rayuan bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.

Pada prosiding hari ini, hanya peguam Alan Wong hadir mewakili Anwar, manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Yusoff tidak hadir, memetik laporan BH Online.

Bagaimanapun Muhammad Rafique ketika dihubungi memberitahu pihaknya telah menghantar surat pemakluman kepada mahkamah mengenai pengurusan kes berkenaan.

Pada 10 Jun lalu, Anwar dibenarkan Mahkamah Rayuan menangguhkan perbicaraan kes saman itu yang sepatutnya bermula hari ini.

Panel memerintahkan semua prosiding termasuk perbicaraan saman di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara, sehingga perbicaraan penuh penangguhan didengar dan diputuskan pada 21 Julai ini di mahkamah sama.

Pada 4 Jun lalu, Anwar memfailkan notis rayuan selepas Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan beliau untuk merujuk lapan persoalan berkenaan.

Menurut notis rayuan itu, Anwar tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan yang diberi oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain dan merayu terhadap keseluruhan keputusan terbabit.

Hakim Roz Mawar menolak permohonan Anwar selepas mendapati persoalan dikemukakan adalah bersifat spekulatif dan tidak perlu bagi pelupusan kes saman berkenaan serta tidak membabitkan tafsiran atau kesahan mana-mana peruntukan Perlembagaan.

Roz Mawar dalam keputusannya berkata, tindakan sivil tidak membentuk suatu kehilangan kebebasan mengikut Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan (hak kepada nyawa dan kebebasan diri) seperti dibangkitkan Anwar dalam permohonannya.

Beliau berkata, Anwar selaku defendan masih bebas dengan kapasiti undang-undang penuh dan perlindungan prosedur yang tersedia, oleh itu Perkara 5(1) tidak terbabit dan tidak perlu ditafsirkan dalam permohonan itu.

Menurut Roz Mawar, Perkara 8(1) (kesamarataaan di sisi undang-undang) pula, berfungsi sebagai pelindung dan bukan pemberi kekebalan, di mana ia menjamin layanan sama rata di sisi undang-undang, dan bukan pengecualian daripadanya.

Katanya, tindakan plaintif (Muhammed Yusoff) adalah mengikut undang-undang prosedur dan substantif yang sama seperti orang lain, oleh itu tiada isu tafsiran sebenar yang timbul berhubung Perkara 8(1) untuk dirujuk.