Potongan subsidi RON95 akan dilaksanakan secara berperingkat tahun ini – Menteri Kewangan II | Madani News

Potongan subsidi RON95 akan dilaksanakan secara berperingkat tahun ini – Menteri Kewangan II

Potongan subsidi RON95 akan dilaksanakan secara berperingkat tahun ini – Menteri Kewangan II
RASIONALISASI minyak petrol RON95 akan dilaksanakan bila-bila masa selepas Jun ini.

KERAJAAN tetap berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 tahun ini, namun pendekatannya akan dilakukan secara berperingkat bagi memastikan pelaksanaannya tidak memberi tekanan kepada rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Menurut beliau, kerajaan masih meneliti bentuk mekanisme terbaik bagi tujuan tersebut dan perinciannya akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri selepas dimuktamadkan, lapor Berita Harian.

“Perdana Menteri sudah menyatakan bahawa subsidi bersasar untuk RON95 akan tetap dilaksanakan dalam tahun ini.

“Tetapi sama seperti pendekatan terhadap diesel, kita perlu pastikan kaedah pelaksanaannya tepat agar tidak membebankan rakyat.

“Secara asasnya, Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menetapkan kadar yang terlalu tinggi, sebaliknya kita mahu memastikan sebahagian besar rakyat Malaysia tidak terjejas dengan pelaksanaan penyasaran subsidi ini,” katanya.

Sebelum ini, Amir memaklumkan bahawa proses rasionalisasi subsidi dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini, namun belum menetapkan tarikh khusus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menjelaskan bahawa langkah penyasaran subsidi tersebut akan lebih tertumpu kepada warga asing serta kumpulan pendapatan tertinggi iaitu sekitar 5% hingga 10% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Tambah beliau, rasionalisasi subsidi merupakan langkah penting dalam usaha kerajaan untuk memastikan perbelanjaan negara disalurkan secara lebih berkesan, terutama bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews