Polis tahan 36 Bangladesh bawa fahaman pelampau IS ke Malaysia | Madani News

Polis tahan 36 Bangladesh bawa fahaman pelampau IS ke Malaysia

Polis tahan 36 Bangladesh bawa fahaman pelampau IS ke Malaysia

POLIS menahan 36 warga Bangladesh terbabit gerakan militan radikal yang membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi IS ke Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil risikan dan tindakan bersepadu Cawangan Khas mendapati kumpulan itu menubuhkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka untuk mengindoktrinasi fahaman radikal.

Menurutnya, kumpulan itu turut mengumpul dana untuk aktiviti keganasan dan berhasrat menjatuhkan kerajaan sah di Bangladesh.

Susulan itu, beliau berkata, polis melancarkan operasi mulai Selasa lalu melalui tiga fasa tangkapan di sekitar Selangor dan Johor.

“Dalam operasi tersebut, lima daripadanya dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata, 15 lagi diusir dan baki 16 masih dalam siasatan lanjut berhubung pembabitan mereka dalam gerakan militan itu.

Tegasnya, Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung dan medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.

“Tindakan yang diambil ini membuktikan kerajaan amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen boleh mengancam keselamatan negara.

“Kejayaan ini juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya polis dalam memelihara kedaulatan, keharmonian dan ketenteraman awam.”

Beliau mengulangi jaminan Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh keupayaan risikan dan menggandakan penguatkuasaan serta bekerjasama dengan agensi keselamatan dalam dan luar negara untuk memastikan Malaysia kekal aman, stabil serta bebas ancaman keganasan.

“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan,” katanya.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews