Kematian Zara Qairina terbela, tahniah Bukit Aman, terimakasih Jabatan Peguam Negara | Madani News

Kematian Zara Qairina terbela, tahniah Bukit Aman, terimakasih Jabatan Peguam Negara

Kematian Zara Qairina terbela, tahniah Bukit Aman, terimakasih Jabatan Peguam Negara

ANALISIS

Sekarang semua sudah jelas, Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM dan Jabatan Peguam Negara  telah bertindak. Keadaan itu pastinya akan meredakan suasana yang ‘agak panas’ dalam kes  kematian Allahyarham.

 ALHAMDULILLAH akhirnya kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mendapat pembelaan apabila Jabatan Peguam Negara mengesahkan  lima remaja bawah umur akan dituduh di Mahkamah Kanak-kanak Kota Kinabalu, Sabah, pada Rabu ini, berhubung kes buli melibatkan Allahyarham.

Pertuduhan itu adalah hasil kertas siasatan yang diserahkan oleh pasukan khas  Siasatan Jenayah Bukit Aman yang mengambil alih siasatan daripada Kontinjen Sabah pada 11 Ogos lalu.

Tahniah kepada pasukan berkenaan yang terdiri daripada sembilan anggota dan pegawai bagi untuk memastikan siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh. Terimakasih kepada Jabatan Peguam Negara yang bertindak pantas untuk mengarahkan inkues bagi mengetahui punca kematian Allahyarham serta membuat pertuduhan kepada lima remaja terlibat berkaitan kes buli.

 Inkues dan pertuduhan itu membuktikan kata-kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa ‘’Dari awal hinggalah proses bedah siasat dibuat dan siasatan lanjutan, tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover up oleh mana-mana pihak berkuasa.’’

Kata beliau, segala tindakan dan siasatan yang diambil berdasarkan fakta, laporan dan permohonan yang sah.

Saifuddin berkata tuduhan mengatakan bahawa kes berkenaan cuba ditutup dan dimanipulasi adalah tuduhan sangat berat yang tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa daripada awal hingga kini.

Bagaimanapun dalam soal tuduhan atau spekulasi itu, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana kedua-dua situasi tersebut wujud apabila orang ramai melihat seolah-olah ada sesuatu tidak kena berikutan seorang pelajar yang meninggal dunia tidak dilakukan post mortem.

Ia terus menimbulkan persoalan apabila ibu Allahyarham, Noraidah Lamat mendakwa anaknya menjadi mangsa buli. Apabila respon daripada pihak-pihak berkenaan agak perlahan sehingga mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat menuntut keadilan untuk Allahyarham maka sudah pastilah banyak lagi spekulasi yang berlaku.

Sekarang semua sudah jelas, Kementerian Dalam Negeri melalui PDRM dan Jabatan Peguam Negara  telah bertindak. Keadaan itu pastinya akan meredakan suasana yang ‘agak panas’ dalam kes  kematian Allahyarham.

 Justeru diharapkan semua pihak akan memberi ruang kepada proses undang-undang berjalan,  sama ada untuk prosiding inkues mahupun pertuduhan ke atas lima remaja tersebut. Biarlah undang-undang menentukannya.

Jika inkues mendapati ada kecuaian di pihak sekolah maka Kementerian Pendidikan jangan sesekali bertolak ansur sebaliknya perlu mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang terlibat.

Apapun sama-sama kita tunggu inkues yang akan bermula depan dan pertuduhan ke atas lima remaja bawah umur tersebut pada Rabu ini.