Merdeka daripada kemiskinan tegar, kejayaan model IGROW selepas lebih 10 tahun


ARTIKEL KHAS SEMPENA BULAN KEMERDEKAAN DAN HARI MALAYSIA
Apa erti merdeka selama 68 tahun, jika kita masih dibelenggu dengan kemiskinan? Itulah antara cabaran mengisi kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957.
Kedudukan sosioekonomi negara perlu seimbang dalam erti kata sebenar supaya rakyat dapat merasai nikmat pembangunan dan kemakmuran negara, memperolehi pendapatan seiring pertumbuhan ekonomi serta jurang pendapatan dapat dirapatkan sebaik mungkin.
Bagi membantu kelompok miskin tegar di seluruh negara keluar daripada ‘penjajahan’ kemiskinan, Institut Agro dan Keusahawanan (IGROW) yang saya asaskan lebih 10 tahun lalu telah memainkan peranan penting sebagai rakan strategik kerajaan dalam usaha tersebut.
Mereka dilatih, dipimpin dan dipantau melalui gerakan serentak iaitu pelaksanaan dan keberhasilan bagi tempoh jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Tunjang kepada keberhasilan ini ialah pendekatan kemahiran TVET dan keusahawanan sebagai teras kejayaan.
Jika sebelum merdeka, sejarah negara berkaitan perjuangan nasionalisme menentang penjajahan kuasa asing, hari ini pengisian kemerdekaan golongan miskin pula berkait rapat dengan usaha ‘memerdekakan jiwa’ daripada sikap negatif yang menjajah minda mereka.

Sempena bulan kemerdekaan, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, IGROW menerbitkan video edisi khas melalui platform media sosialnya bertajuk ‘Merdeka daripada kemiskinan’. Ia memaparkan kejayaan golongan miskin tegar keluar daripada garis kemiskinan melalui pendekatan model IGROW Membasmi Miskin Tegar (MIMMT) di seluruh negara.
Seramai 10 ikon dari seluruh negara yang merupakan graduan MIMMT menceritakan pengalaman suka duka mereka sebelum menjadi kelompok berpendapatan tinggi selepas 10 tahun MIMMT dilaksanakan.
Ketika ini rata-rata mereka memperolehi pendapatan minimum RM7,000 hingga RM10,000 sebulan. Malah ada yang berpendapatan kasar sehingga RM100,000 sebulan melalui usaha gigih mereka demi mahu menikmati kehidupan lebih baik.
Pendapatan purata bulanan bagi setiap peserta yang konsisten selama 10 tahun membuktikan pelaburan kerajaan bagi setiap peserta 10 tahun lalu amat berbaloi dan boleh dianggap berimpak tinggi. Keusahawanan mereka juga memberi kesan berganda kepada ekonomi negara.
Antara mereka ialah Jumatiya Masri di Taman Jayadiri, Sepanggar, Sabah. Hasil latihan yang didapati melalui program 1Azam pada tahun 2012, beliau yang lumpuh selepas menghadapi masalah kesihatan tetap bersemangat mencari pendapatan.
Begitu juga dengan Salha Bivi, ibu muda yang gigih menghadapi cabaran sebagai usahawan tani di Sepang, Selangor. Walaupun berhadapan dengan risiko bencana alam namun beliau yang mengusahakan 20 ekar tanaman pisang dan sayuran tetap bersemangat.
Semua itu adalah hasil ilmu diperolehi pada tahun 2021 di IGROW yang benar-benar memberi kesan kepada jiwanya.
Kisah Maghenthiran a/l Buchia dari Teluk Intan lebih menarik apabila beliau menempuh kesukaran hidup akibat kemiskinan selepas pulang bekerja dari luar negara.
Bagaimanapun segalanya berubah apabila melalui syarikat perladangan yang menjadi rakan strategik IGROW, beliau diberi peluang mengusahakan ladang sawit dengan skala agak besar. Ternyata ia memberi pendapatan tinggi kepada Maghenthiran sehingga mampu membiayai anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi swasta.

Kisah keluarga Opah Yang juga akan ditonjolkan iaitu bagaimana suatu masa dahulu, keluarga berpendapatan kecil ini diberi kemahiran dan sokongan keusahawanan untuk menjadi pengeluar makanan tradisional seperti dodol Perak Tengah hingga menjadi jenama popular dodol di Perak.
Sama ada Jumatiya Masri, Salha Bivi mahupun Maghenthiran atau Opah Yang, kesemuanya berjaya mengubah hidup melalui jiwa merdeka dan menghapuskan penjajahan minda yang mungkin selama ini menjadi batu penghalang untuk mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Apa yang mereka lakukan bukanlah mudah tetapi ia bukanlah satu misi mustahil apatah lagi dengan komitmen tinggi oleh IGROW melalui MIMMT.
Video edisi merdeka itu adalah sebahagian daripada usaha mengumpulkan kisah inspirasi membasmi kemiskinan dan mengembangkan bakat serta potensi keusahawanan dan kemahiran TVET yang lebih besar.
Penghasilan video itu juga merupakan misi IGROW untuk menerbitkan buku kejayaan MIMMT selama lebih 10 tahun tidak lama lagi yang berjudul ‘Wira Keluarga Terpuji: Keusahawanan dan Kemahiran TVET Menoktahkan Kemiskinan’.
- Penulis adalah usahawan dan aktivisi sosio-ekonomi