Anutin Charnvirakul dilantik Perdana Menteri baharu Thailand

KETUA Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul, dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Thailand selepas memperoleh sokongan majoriti dalam undian Parlimen pada Jumaat.
Ahli politik veteran berusia 58 tahun itu meraih 311 undi daripada 490 ahli Parlimen, menewaskan calon Parti Pheu Thai, Chaikasem Nitisiri yang mendapat 152 undi, manakala 27 lagi berkecuali. Keputusan itu melepasi dengan mudah ambang 247 undi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.
Proses pengundian yang bermula pada jam 3 petang waktu tempatan selesai dalam tempoh sejam. Speaker Dewan, Wan Muhamad Noor Matha dijadual mempersembahkan nama Anutin kepada Raja Maha Vajiralongkorn untuk mendapat perkenan rasmi.
Bekas timbalan perdana menteri, serta menteri dalam negeri dan kesihatan itu, dikenali sebagai tokoh utama dalam menangani wabak COVID-19 di Thailand. Dilahirkan di Bangkok, Anutin ialah anak sulung kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Chavarat Charnvirakul.
Beliau menamatkan pengajian kejuruteraan di Hofstra University, Amerika Syarikat pada 1989 dan memperoleh Mini MBA dari Universiti Thammasat setahun kemudian. Pewaris empayar pembinaan Sino-Thai Engineering and Construction PCL, Anutin pernah mengetuai firma keluarga itu yang terlibat dalam projek besar termasuk Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Menceburi politik sejak 1996, beliau pernah menjadi penasihat menteri luar dan timbalan menteri kesihatan awam serta perdagangan. Selepas dikenakan larangan politik selama lima tahun berikutan pembubaran Parti Thai Rak Thai pada 2006, Anutin kembali aktif pada 2012 untuk menerajui Parti Bhumjaithai.
–– BERNAMA