Sindiket godam Kad TnG: Pemilik syarikat guna kad godam ditahan, pengodam masih bebas | Madani News

Sindiket godam Kad TnG: Pemilik syarikat guna kad godam ditahan, pengodam masih bebas

Sindiket godam Kad TnG: Pemilik syarikat guna kad godam ditahan, pengodam masih bebas
PENGODAM akan masukkan nilai tambah sehingga RM300 kepada kad asli dan kemudian menjualkannya dengan harga murah. - Gambar hiasan

POLIS Negeri Sembilan berjaya membongkar kegiatan sindiket menggodam kad Touch ‘n Go (TnG) yang kemudian dijual kepada sebuah syarikat pengangkutan bagi tujuan mengelak bayaran tol.

Syarikat terbabit yang memiliki 160 lori dikesan menggunakan ratusan kad TnG digodam sejak lebih setahun lalu, sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada pihak TnG.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan mendapati seorang lelaki tempatan menggunakan perisian khas yang dibeli secara atas talian untuk menggodam kad TnG asli sebelum memasukkan nilai sehingga RM300. Kad itu kemudian dijual kepada syarikat berkenaan pada harga antara RM150 hingga RM200 sekeping.

“Kad ini asli tetapi digodam menggunakan dua jenis perisian khas. Kami percaya suspek turut menjualnya kepada pihak lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Polis menahan dua individu iaitu pemilik syarikat, lelaki berusia 43 tahun, serta isterinya warga China berusia 33 tahun pada 9 September lalu. Kedua-duanya direman empat hari bermula 10 September bagi siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Rampasan turut dibuat melibatkan 304 kad TnG, tiga telefon bimbit, wang tunai RM400,000 dan peralatan CCTV.

Menurut Alzafny, TnG mula mengesan ketidakselarasan hasil kutipan tol pada Julai lalu sebelum meneliti rakaman CCTV plaza tol yang mendapati lori syarikat terbabit menggunakan kad digodam.

Kerugian akibat penggunaan kad haram syarikat itu sahaja dianggarkan RM59,920 bagi tempoh Julai dan Ogos, manakala jumlah keseluruhan masih dalam siasatan.

Beliau menegaskan, kegiatan menggodam atau menggunakan kad TnG yang diubah suai adalah kesalahan jenayah serius, dan ini merupakan kes kedua seumpamanya di negara ini.

Polis kini sedang memburu pembekal utama kad TnG godam yang masih bebas. – MADANI NEWS