Sistem dokumen kastam MyCIEDS beroperasi penuh Jan 2026, bantu cegah ketirisan | Madani News

Sistem dokumen kastam MyCIEDS beroperasi penuh Jan 2026, bantu cegah ketirisan

Sistem dokumen kastam MyCIEDS beroperasi penuh Jan 2026, bantu cegah ketirisan

SISTEM Dokumentasi Import Eksport Kastam Malaysia (MyCIEDS) akan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara mulai Januari 2026, kata Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Beliau berkata sistem dibangunkan secara dalaman itu menjadi pemacu utama dalam usaha automasi dan pendigitalan di bawah Pelan Strategik JKDM 2025-2027 khususnya dalam usaha mencegah ketirisan.

Menurutnya, pencegahan ketirisan dapat dibuat antaranya integrasi dengan Sistem Maklumat Kastam (SMK) bagi memastikan hanya dokumen sah dan didaftarkan dapat diproses.

Jelas Anis Rizana, modul audit trail menjejak setiap tindakan pengguna bagi mengelakkan penyelewengan manakala automasi semakan dokumen mengurangkan risiko manipulasi maklumat serta memastikan pengesanan telus transaksi.

“Sehingga 10 Sept lalu, seramai 7,228 ejen penghantaran dan sebanyak 1,721 syarikat yang terlibat dalam aktiviti import dan eksport di seluruh negara telah berdaftar sebagai pengguna sistem ini,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

MyCIEDS mula dibangunkan pada Ogos 2024 sebagai platform berasaskan web yang boleh diakses menerusi pelbagai peranti tanpa memerlukan pemasangan perisian tambahan.

Sistem ini dilancarkan secara berperingkat mengikut zon bermula Mei lalu di Pulau Pinang, Johor, Sarawak dan akan diperluas ke Sabah pada November.

Menurut Anis Rizana, sistem itu berfungsi sebagai platform penghantaran dokumen sokongan secara dalam talian antara pegawai kastam dan ejen penghantaran atau pengimport

“MyCIEDS bukan sekadar sistem teknologi, tetapi pemangkin transformasi hasil negara.

“Ia membolehkan JKDM menutup ruang ketirisan, memperkukuh penguatkuasaan berasaskan data, mempercepatkan digitalisasi dan meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.

Sistem itu juga dilengkapi lima modul utama, termasuk pendaftaran syarikat dan pegawai, penghantaran dokumen, pelaporan, audit trail serta integrasi dengan SMK, bagi memastikan integriti serta kesahihan setiap transaksi.

Antara manfaat lain yang diperoleh ialah proses pelepasan barang dagangan lebih pantas, pengurangan ralat dan penipuan, ketelusan menerusi pemantauan masa nyata serta penjimatan kos operasi kerana ejen tidak lagi perlu menghantar dokumen secara fizikal.

Anis Rizana berkata pelaksanaan sistem itu turut memudahkan kerja pengauditan kerana dokumen disimpan secara digital dan boleh diakses bila-bila masa dari mana-mana lokasi.

“Kerjasama erat dengan persatuan seperti Selangor Freight Forwarders and Logistics Association (SAFLA) dan Airfreight Forwarders Association of Malaysia (AFAM) menunjukkan industri menyokong penuh inisiatif ini,” katanya. – MADANI NEWS