RON95: Menteri ingatkan MyKad mesti berfungsi, petanda subsidi harga baru akan bermula

“Harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar ini. Jadi perkara penting ialah periksa MyKad anda, pastikan cip berfungsi dan elok. – Saifuddin
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai supaya segera memeriksa MyKad masing-masing bagi memastikan cip berfungsi, susulan pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 yang dijangka bermula dalam masa terdekat.
Menurut beliau, pengesahan identiti menggunakan MyKad adalah syarat utama bagi menikmati harga subsidi baharu ketika mengisi minyak di stesen.
“Harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar ini. Jadi perkara penting ialah periksa MyKad anda, pastikan cip berfungsi dan elok. Kalau rosak atau tidak boleh dibaca, boleh terus ke kaunter JPN. Insya-Allah siap hari sama, mudah dan cepat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin menegaskan, jangan tunggu hingga saat akhir untuk membuat semakan kerana langkah itu akan memastikan rakyat dapat segera menikmati manfaat subsidi petrol khas untuk warganegara Malaysia.
Beliau turut menyifatkan inisiatif itu sebagai bukti komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menunaikan janji menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter menjelang hujung bulan ini.
Katanya, walaupun mengambil sedikit masa untuk dilaksanakan, Perdana Menteri tetap berpegang kepada kata-katanya demi meringankan beban rakyat.
Saifuddin menambah, kerajaan Madani kekal komited membantu rakyat, menjaga kebajikan semua golongan serta memastikan ekonomi negara terus makmur dengan penuh integriti dan tanggungjawab.
Sebelum ini, Anwar sendiri memberi jaminan bahawa harga RON95 akan diturunkan hujung bulan ini melalui mekanisme subsidi bersasar, sekali gus menandakan pelancaran sistem harga baru bahan api itu semakin hampir. – MADANI NEWS