Malaysia satu-satunya negara perkenal subsidi minyak ketika ketidaktentuan ekonomi – PM | Madani News

Malaysia satu-satunya negara perkenal subsidi minyak ketika ketidaktentuan ekonomi – PM

Malaysia satu-satunya negara perkenal subsidi minyak ketika ketidaktentuan ekonomi – PM
Anwar Ibrahim semasa Himpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Puspanita, Putrajaya. 22 September 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

MALAYSIA merupakan satu-satunya negara di dunia yang memperkenalkan subsidi harga minyak menyeluruh kepada semua rakyat ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri pagi tadi, beliau berkata langkah itu membuktikan kerajaan mampu menetapkan keutamaan negara walaupun mewarisi beban hutang besar daripada pentadbiran terdahulu.

“Kerajaan buat pilihan berdasarkan situasi. Kita lakukan ini walaupun berdepan hutang besar. Ia boleh dilaksanakan kerana kita menuju ke arah tadbir urus lebih baik, hasil lebih baik, dan tidak mengulang kesilapan lalu,” katanya.

Menurut Anwar, tidak semua negara berani menurunkan harga bahan api untuk rakyat ketika ekonomi tidak stabil. “Kalau semua negara di dunia berani turunkan harga minyak ketika ekonomi tidak stabil, itu memang memerlukan keberanian dan ketegasan,” ujarnya.

Harga RON95 Turun Kepada RM1.99

Terdahulu, Anwar mengumumkan harga baharu RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), turun daripada RM2.05 seliter.

Polis dan tentera akan menikmati kadar baharu itu lebih awal iaitu pada 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mendapat akses bermula 28 September.

Perdana Menteri berkata, semua warganegara dengan lesen memandu sah – dianggarkan kira-kira 16 juta orang – layak menikmati subsidi ini.

  • Had subsidi: 300 liter sebulan
  • Pemandu e-hailing: Tiada had penggunaan, kekal pada kadar RM1.99 seliter

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews