Dicabar Akmal keluar kerajaan Melaka: DAP tidak takut dicabar tapi tak tunduk provokasi – Anthony Loke
DAP menegaskan parti itu tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau provokasi luar dalam menentukan hala tuju politiknya, susulan cabaran Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh, agar pemimpin DAP melepaskan semua jawatan dalam kerajaan negeri Melaka.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, setiap keputusan melibatkan pembabitan parti dalam kerajaan negeri atau persekutuan dibuat berdasarkan prinsip, kepentingan parti serta mandat pengundi yang diwakili — bukan atas desakan pihak lain.
Menurut beliau, sebarang isu berkaitan pendirian dan kedudukan parti akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat kepimpinan dan perwakilan negeri sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) untuk pertimbangan lanjut.
“Kita tidak takut dicabar dan DAP pantang dicabar, namun kita juga tidak mudah diprovokasi. Setiap keputusan mesti dibuat secara matang dan bertanggungjawab,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Melaka ke-25, menurut laporan Berita Harian.
Loke turut menegaskan DAP tidak akan bertindak secara tergesa-gesa hanya kerana provokasi pihak tertentu, sebaliknya kekal konsisten dengan prinsip perjuangan parti.
Semalam, Dr Akmal mencabar pemimpin DAP supaya meletakkan semua jawatan dalam kerajaan Melaka atas alasan parti itu merupakan sebahagian daripada komponen kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Loke menegaskan DAP berhak sepenuhnya menentukan hala tuju dan masa depan perjuangannya tanpa campur tangan mana-mana pihak luar.
Dalam pada itu, beliau menyeru ahli dan penyokong parti agar terus memperkukuhkan DAP menjelang ulang tahun ke-60 penubuhannya tahun ini.
“DAP ditubuhkan pada 1966. Ulang tahun ke-60 ini adalah detik bersejarah yang perlu diraikan sebagai simbol komitmen untuk terus memperkukuhkan parti,” katanya.
