KWSP umum dividen 6.15%, agihan RM79.6 bilion kepada 18.1 juta ahli
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan kadar dividen 2025 sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, jumlah keseluruhan agihan mencecah RM79.6 bilion, membabitkan RM67.1 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM12.5 bilion untuk Simpanan Shariah.
Pengkreditan dividen akan selesai esok dan ahli boleh menyemak melalui i-Akaun atau Terminal Layan Diri (SST) di seluruh negara.
KWSP mencatatkan pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion pada 2025, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada 2024. Jumlah aset pelaburan pula berkembang kepada RM1.409 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.250 trilion, didorong oleh pendapatan portfolio dan caruman bersih RM66.5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata prestasi 2025 kekal memberangsangkan walaupun berdepan ketidaktentuan global susulan dasar perdagangan dan geopolitik.
Menurut beliau, pasaran ekuiti yang berdaya tahan menjadi penyumbang utama pendapatan, disokong pulangan stabil instrumen pendapatan tetap serta kepelbagaian portfolio yang kukuh.
Ekuiti menjana RM50.7 bilion atau 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan dengan pulangan pelaburan (ROI) 7.9 peratus. Instrumen Pendapatan Tetap pula menyumbang RM26.3 bilion atau 33 peratus dengan ROI 4.3 peratus.
Hartanah dan Infrastruktur mencatat pendapatan RM1.6 bilion dengan ROI 4.8 peratus, manakala instrumen Pasaran Wang menyumbang RM600 juta dengan ROI 1.6 peratus.
Daripada jumlah aset RM1.409 trilion, sebanyak 61.7 peratus dilaburkan dalam pasaran domestik dan 38.3 peratus di pasaran global, masing-masing menyumbang hampir separuh daripada keseluruhan pendapatan pelaburan.
Keahlian KWSP meningkat kepada 18.1 juta dengan 10.6 juta ahli aktif, manakala pendaftaran baharu kekal kukuh termasuk 2.8 juta ahli baharu dan 89,649 majikan baharu. Caruman sukarela juga meningkat kepada RM19.2 bilion, dengan program i-Saraan terus menunjukkan pertumbuhan signifikan. – MADANI NEWS
