Jelajah promosi Sukan SEA Ke-34 dan Para ASEAN ke-14 bermula, semarak sokongan rakyat
KUALA LUMPUR – Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia 2027 (MASOC 2027) memulakan jelajah promosi Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 bagi menyemarakkan sokongan rakyat menjelang penganjuran kedua-dua temasya sukan serantau itu tahun depan.
Jelajah anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu dilancarkan Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027, Datuk Abdul Rashid Yaakub, di The Volume, The Arch Galleries, Jalan Tun Razak, di sini, semalam.
Abdul Rashid berkata, jelajah berkenaan bukan sekadar memperkenalkan temasya, malah bertujuan mendekatkan semangat Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN kepada masyarakat tanpa mengira lokasi atau latar belakang.

Beliau berkata, pendekatan mengikut zon membolehkan kempen promosi diperluas ke bandar utama, kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan lebih ramai rakyat mengetahui serta menyokong temasya berkenaan.
“Kita mahu semangat 2027 dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia, bukan hanya di bandar utama, tetapi juga di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Jelajah mengikut zon ini memberi peluang kepada MASOC untuk mendekati komuniti secara langsung, memperluas kesedaran dan membina sokongan rakyat terhadap temasya yang bakal kita anjurkan,” katanya.
Sebagai permulaan, sebuah trak terbuka yang membawa identiti rasmi temasya akan bergerak melalui lima lokasi strategik di ibu negara, iaitu Pasar Seni, The Exchange TRX, Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).
Kempen itu turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, termasuk sesi ramah mesra bersama atlet negara, kemunculan maskot rasmi, persembahan pancaragam dan pasukan sorak serta permainan bertemakan sukan.
Orang ramai juga berpeluang mendapatkan cenderamata dan menyertai sesi fotografi bagi meningkatkan penglibatan masyarakat dalam kempen berkenaan.
Selepas Kuala Lumpur, jelajah itu akan diteruskan ke Zon Timur, Zon Utara dan Zon Selatan bagi memperluas jangkauan promosi ke lebih banyak negeri dan komuniti.
Abdul Rashid berkata, MASOC 2027 sebelum ini turut melaksanakan promosi melalui reruai dalam program KIBAR, MADANI Kita dan Le Tour de Langkawi.
Menurutnya, jelajah mengikut zon itu akan meneruskan momentum berkenaan supaya maklumat mengenai temasya 2027 dapat disampaikan dengan lebih meluas, termasuk kepada masyarakat di pelosok negara.
Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 dari 18 hingga 29 September 2027, dengan penganjuran membabitkan empat kluster, iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor.
Berteraskan aspirasi “Raikan Perpaduan”, penganjuran itu diharap bukan sahaja menyemarakkan budaya sukan dan meningkatkan sokongan terhadap atlet negara, malah memperkukuh perpaduan rakyat serta hubungan serantau.
Abdul Rashid berkata, kejayaan penganjuran tidak seharusnya diukur berdasarkan kelancaran pertandingan dan pencapaian atlet semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira legasi bermakna yang dapat ditinggalkan kepada masyarakat. – MADANI NEWS
