Dana asing terus mengalir masuk, cecah RM853.8 juta di Bursa Malaysia

PELABUR asing meneruskan pembelian aktif di Bursa Malaysia bagi minggu kedua berturut-turut, dengan mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM853.8 juta pada minggu berakhir 2 Mei lalu.
Ini menjadikan aliran masuk dana asing bersih yang berterusan selama dua minggu, iaitu buat kali pertama sejak 24 September tahun lalu, menurut Laporan Aliran Dana oleh MIDF Amanah Investment Bank Bhd.
Sepanjang minggu tersebut, pelabur asing tampil sebagai pembeli bersih pada setiap hari dagangan, dengan nilai pembelian bersih harian antara RM50.7 juta hingga RM340.8 juta.
Hari Jumaat mencatat aliran masuk bersih tertinggi sebanyak RM340.8 juta, diikuti Khamis dengan RM325.2 juta.
“Tiga sektor utama yang menerima aliran masuk bersih tertinggi daripada pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan (RM567.4 juta), penjagaan kesihatan (RM124.8 juta) dan produk serta perkhidmatan industri (RM107.9 juta),” kata MIDF.
Namun, sektor tenaga dan perladangan mencatat aliran keluar bersih masing-masing sebanyak RM31.9 juta dan RM6.0 juta.
Sementara itu, institusi tempatan meneruskan trend jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah aliran keluar bernilai RM692.6 juta – juga minggu kedua berturut-turut sejak 24 Ogos 2025.
Pelabur runcit tempatan turut melanjutkan corak jualan bersih untuk minggu ketiga, melibatkan aliran keluar berjumlah RM161.2 juta – hampir 2.5 kali ganda berbanding minggu sebelumnya.
Menurut MIDF, purata jumlah dagangan harian melonjak pada minggu lalu, dengan dagangan oleh institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing meningkat 8.7 peratus dan 5.7 peratus. Pelabur asing pula mencatat peningkatan lebih ketara sebanyak 26 peratus.
Di peringkat serantau, pelabur asing juga meneruskan pembelian bersih untuk minggu kedua, menyumbang aliran masuk sebanyak AS$3.32 bilion (RM14.13 bilion), didorong oleh sentimen belian yang kukuh terutamanya di India dan Taiwan.
— BERNAMA