Harimau Malaya ikat Cape Verde 1-1, aksi meyakinkan menjelang pertemuan dengan Vietnam | Madani News

Harimau Malaya ikat Cape Verde 1-1, aksi meyakinkan menjelang pertemuan dengan Vietnam

Harimau Malaya ikat Cape Verde 1-1, aksi meyakinkan menjelang pertemuan dengan Vietnam

SKUAD Harimau Malaya mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya mengikat pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Cheras, malam ini.

Pertembungan itu menjadi medan penting buat anak-anak buah Ketua Jurulatih baru, Peter Cklamovski sebagai persiapan menjelang aksi getir menentang Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan datang.

Perlawanan turut menyaksikan dua pemain muda, Gabriel Palmero dan Ubaidullah diberi peluang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan, manakala Cape Verde menurunkan pertahanan kiri Sporting Lisbon, David Moreira.

Malaysia dikejutkan seawal minit ke-8 apabila pertahanan kanan pelawat, Sydny Cabral melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan Syihan Hazmi.

Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Malaya cuba bangkit. Dua peluang keemasan hadir menerusi Arif Aiman, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Cape Verde, Vozinho.

Safawi Rasid hampir menyamakan kedudukan menjelang tamat separuh masa pertama menerusi satu rembatan leret, tetapi sekali lagi Vozinho menjadi penghalang utama.

Separuh masa pertama tamat dengan Cape Verde mendahului 1-0.

Memasuki babak kedua, Malaysia terus mengasak dengan Arif Aiman, Faisal Halim dan Corbin Ong menjadi tunjang kepada beberapa gerakan berbahaya yang menguji ketangkasan benteng Cape Verde.

Kemunculan pemain naturalisasi, Paulo Josue akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang KL City itu menyamakan kedudukan pada minit ke-80, hanya beberapa minit selepas dimasukkan.

Jaringan tersebut memastikan Malaysia tidak pulang hampa, sekali gus menyuntik keyakinan menjelang aksi lebih penting berdepan Vietnam.

Malaysia dan Cape Verde dijadualkan bertemu sekali lagi dalam perlawanan persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun ini sebelum Harimau Malaya melayani kunjungan Vietnam tujuh hari kemudian.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews