Makin panas..! Rafizi persoal kuasa khas Presiden benarkan ahli baru bertanding | Madani News

Makin panas..! Rafizi persoal kuasa khas Presiden benarkan ahli baru bertanding

Makin panas..! Rafizi persoal kuasa khas Presiden benarkan ahli baru bertanding

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli, malam tadi membakar semangat akar umbi apabila secara terbuka mempersoalkan kuasa khas yang dimiliki Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim — satu kuasa yang menurutnya telah membuka ruang kepada layanan istimewa untuk individu tertentu, termasuk R Ramanan.

Dalam nada sinis namun tegas di pentas Jelajah Hiruk di Johor Bahru, Rafizi menyentuh isu sensitif yang kian menjadi bualan ramai dalam kalangan penyokong: bagaimana seorang bekas bendahari MIC yang baru menyertai PKR pada 2020 kini sedang mencabar jawatan Naib Presiden, selepas ‘mendaki pangkat’ dalam masa singkat.

“Macam mana bekas bendahari MIC, baru letak jawatan enam bulan, masuk parti terus dapat kerusi Parlimen yang selamat? Tak sampai setahun, jadi timbalan menteri. Sekarang nak jadi Naib Presiden. Sebab apa? Sebab ada pelepasan,” kata Rafizi disambut tepukan gemuruh hadirin.

Menurut Rafizi, keistimewaan ini tidak selari dengan semangat perjuangan parti yang sepatutnya mengangkat mereka yang telah berjuang lama dan bekerja keras di lapangan. Beliau mencadangkan agar ‘pelepasan khas’ presiden — yang membenarkan ahli baru bertanding walaupun belum cukup tempoh keahlian — dimansuhkan sepenuhnya.

“Saya ulang sekali lagi — setuju atau tidak, lepas ini tak ada lagi kuasa sesiapa pun untuk beri pelepasan kepada mana-mana ahli baru untuk bertanding?” soal beliau.

“Tak Bolehlah, Datuk Seri”

Lebih berani, Rafizi mendedahkan bahawa beliau telah menyuarakan perkara itu sendiri kepada Presiden parti. Jawapan yang diterimanya — “Saya tak tahu, orang bagi kat saya, saya tandatangan” — dibalas dengan kritikan pedas.

“Saya kata, tak bolehlah macam itu Datuk Seri.” kata Rafizi sambil menambah tindakan sedemikian akan menyebabkan ramai mengintai peluang menyertai PKR dan memalukan parti itu.

Rafizi menegaskan bahawa setiap ahli baru harus memulakan langkah dari bawah — sebagai ahli biasa — dan membuktikan kesetiaan serta komitmen mereka sebelum diberikan ruang mendaki hirarki parti.

Kisah Kenaikan Kilat Ramanan

Ramanan, yang meninggalkan MIC dan menyertai PKR pada tahun 2020, mencipta kejutan apabila dicalonkan oleh Anwar di kerusi panas Parlimen Sungai Buloh — beberapa jam sebelum pengumuman rasmi calon. Keputusan tersebut mengenepikan penyandang ketika itu, R Sivarasa, yang lebih lama dalam parti.

Walaupun kemenangan Ramanan ke atas tokoh popular seperti Khairy Jamaluddin dari BN membawa impak politik besar, namun kenaikan pantas beliau — termasuk pelantikan sebagai Timbalan Menteri dan pengerusi Mitra — terus menimbulkan persoalan dalam kalangan akar umbi.

Kini, dengan hasrat bertanding jawatan Naib Presiden PKR, nama Ramanan sekali lagi menjadi simbol perdebatan tentang keadilan dan merit dalam parti reformasi ini.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews