Malaysia, Singapura sambut Aidiladha Sabtu 7 Jun, Indonesia sehari lebih awal pada 6 Jun

UMAT Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada Sabtu, 7 Jun 2025, manakala Indonesia menetapkan tarikh sambutan sehari lebih awal, iaitu pada Jumaat, 6 Jun 2025.
Di Malaysia, Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Datuk Mohd Aseral Jusman dalam pengumuman yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini memaklumkan bahawa 1 Zulhijjah 1446 Hijrah jatuh pada Khamis, 29 Mei 2025.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka saya bagi pihak Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dengan ini mengisytiharkan bahawa Hari Raya Korban bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ialah pada hari Sabtu, 7 Jun 2025,” katanya, lapor Bernama.
Sementara itu di Singapura, Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir turut mengumumkan tarikh sama untuk sambutan Aidiladha di republik tersebut.
Menurut beliau, hasil cerapan falak menunjukkan anak bulan tidak kelihatan selepas matahari terbenam pada petang Selasa, menjadikan Rabu, 28 Mei sebagai hari ke-30 Zulkaedah dan 1 Zulhijah bermula pada Khamis, 29 Mei.
“Oleh itu, Hari Raya Aidiladha akan jatuh pada 7 Jun,” katanya sambil mengajak umat Islam agar memperbanyakkan ibadah serta mendoakan keselamatan jemaah haji dan mereka yang tertindas, khususnya di Gaza, Palestin.
Berbeza dengan dua negara jiran itu, Indonesia menetapkan Hari Raya Aidiladha pada 6 Jun 2025.
Menteri Agama Indonesia, Nasaruddin Umar berkata keputusan itu dibuat selepas sidang isbat yang diadakan pada malam Selasa, dan berdasarkan laporan rasmi, 1 Zulhijah 1446H ditetapkan pada Rabu, 28 Mei 2025.
“Dengan itu, Aidiladha atau 10 Zulhijah jatuh pada hari Jumaat, 6 Jun 2025,” katanya.
Ini menjadikan Indonesia akan menyambut Aidiladha sehari lebih awal berbanding Malaysia dan Singapura.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews