Mandiri kecam syarat permit aktiviti baca buku di Dataran Merdeka | Madani News

Mandiri kecam syarat permit aktiviti baca buku di Dataran Merdeka

Mandiri kecam syarat permit aktiviti baca buku di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR – Mandiri mengecam kenyataan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyatakan bahawa aktiviti membaca buku di Dataran Merdeka memerlukan kelulusan pihak berkuasa.

Penyelaras Mandiri, Wong Kukui berkata, aktiviti rekreasi yang berasaskan buku dan ilmu, bukanlah bentuk perhimpunan yang mengganggu ketenteraman awam.

Malah, menurut beliau. aktiviti-aktiviti sebegini menghidupkan ruang awam dengan budaya, kesedaran, dan memberikan manfaat kepada masyarakat agar tidak terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat.

“Kami melihatnya tiada beza daripada aktiviti berpiknik bersama rakan-rakan atau keluarga.

“Adakah aktiviti sebegitu juga memerlukan kelulusan pihak DBKL?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan, DBKL dalam satu kenyataan menegaskan bahawa sebarang perhimpunan, termasuk aktiviti untuk tujuan ilmiah di kawasan itu, perlu mendapatkan kelulusan rasminya terlebih dahulu.

Menurut kenyataan itu, syarat permohonan berkenaan bukan hendak menyekat penganjuran program bermanfaat, tetapi ia bagi memastikan segala peraturan sedia ada terutama berkaitan kebersihan, keselamatan dan ketenteraman awam dipatuhi.

Baru-baru ini, sekumpulan individu mendakwa mereka diganggu polis dan penguat kuasa DBKL semasa aktiviti membaca buku di Dataran Merdeka pada 10 Mei lalu.

Sehubungan itu, Kukui berkata, Mandiri menegaskan, aktiviti berasaskan buku dan ilmu secara aman di ruang awam tidak tergolong di bawah takrif perhimpunan yang memerlukan pemakluman kepada pihak polis, seperti yang termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Sekalipun kami menganjurkan perhimpunan aman, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah mengumumkan moratorium terhadap penguatkuasaan Seksyen 11 Akta tersebut.

“Ini selari dengan komitmen kerajaan untuk meminda akta berkenaan, dan cadangan pindaan itu telahpun diumumkan untuk dibentangkan pada Oktober ini,” jelasnya.

Beliau berkata, kenyataan DBKL itu bukan sahaja bercanggah dengan dasar kerajaan, malah menunjukkan kegagalan pihak berkuasa tempatan untuk mengikuti perkembangan dasar semasa.

Kukui menambah, kenyataan tersebut juga menunjukan ketidakfahaman terhadap semangat demokrasi dan hak rakyat untuk menggunakan ruang awam.

“Mandiri dengan tegas berpendirian dan kami sangat percaya bahawa sebagai sebuah negara demokrasi, ruang awam perlu digunakan semaksimumnya tanpa sebarang sekatan,” tegasnya. – MADANI NEWS