Pakistan lancar serangan balas terhadap India, libatkan 26 lokasi sasaran | Madani News

Pakistan lancar serangan balas terhadap India, libatkan 26 lokasi sasaran

Pakistan lancar serangan balas terhadap India, libatkan 26 lokasi sasaran
Grafik image generator ChatGPT

PAKISTAN mengumumkan telah melancarkan “Operasi Bunyan-un-Marsoos” yang menyasarkan beberapa lokasi di seberang sempadan, susulan serangan udara India ke atas beberapa pangkalan udara utama negara itu.

Beberapa kawasan di Kashmir yang ditadbir India serta negeri barat laut India dilaporkan menjadi sasaran serangan Pakistan, awal Sabtu.

Letupan dilaporkan kedengaran di Jammu, Srinagar, Rajouri, Poonch dan Jalandhar, menurut laporan media India.

Agensi berita India ANI melaporkan Pakistan menyasarkan 26 lokasi.

Media Pakistan yang memetik sumber tentera melaporkan negara itu telah memusnahkan tapak simpanan peluru berpandu BrahMos di kawasan Beas serta menyerang pangkalan udara Udhampur dan Pathankot.

Sebelum itu, Pakistan mendakwa India telah melancarkan peluru berpandu ke atas pangkalan udaranya di Noor Khan, Shorkot dan Murid, namun sistem pertahanan udara Pakistan telah “menumpaskan” serangan tersebut.

Tiada korban jiwa atau kerosakan dilaporkan, menurut kenyataan kerajaan.

“India kini perlu bersiap sedia menghadapi tindak balas Pakistan,” menurut kenyataan itu sebelum bermulanya “Operasi Bunyan-un-Marsoos”.

Serangan terkini oleh India dan Pakistan ini mencetuskan peningkatan ketegangan berbahaya dalam situasi ketenteraan yang sudah pun rapuh di Asia Selatan.

Sementara itu, gesaan antarabangsa agar konflik dihentikan semakin meningkat.

Menteri luar G7 yang terdiri daripada Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat serta wakil tinggi Kesatuan Eropah bagi hal ehwal luar pada Jumaat menyatakan kebimbangan terhadap konflik India-Pakistan dan ancaman yang dibawanya kepada kestabilan serantau.

“Kami menggesa agar ketegangan segera diredakan dan menggalakkan kedua-dua negara menjalinkan dialog secara langsung demi mencapai penyelesaian damai. Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan menyatakan sokongan kepada penyelesaian diplomatik yang pantas dan berkekalan,” menurut kenyataan G7 itu.

Menteri Luar Arab Saudi Adel Al Jubeir, berada di Pakistan pada Jumaat bagi membincangkan situasi serantau, sehari selepas mengadakan lawatan ke New Delhi.

“Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Arab Saudi untuk meredakan ketegangan, menamatkan konfrontasi ketenteraan yang sedang berlangsung dan menyelesaikan semua pertikaian melalui dialog serta saluran diplomatik,” menurut Kementerian Luar Arab Saudi. – BERNAMA