PAS tidak boleh 'move on', cemburu lihat sesiapa berkawan dengan 'jandanya' DAP - Khaled Nordin | Madani News

PAS tidak boleh ‘move on’, cemburu lihat sesiapa berkawan dengan ‘jandanya’ DAP – Khaled Nordin

PAS tidak boleh ‘move on’, cemburu lihat sesiapa berkawan dengan ‘jandanya’ DAP – Khaled Nordin

PAS disifatkan seperti sebuah parti yang tidak dapat untuk ‘move on’ atau bergerak ke hadapan selepas memutuskan hubungan dengan DAP, parti yang pernah didampinginya sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata atas sebab itu PAS seperti cemburu apabila melihat DAP selaku bekas rakannya itu kini berbaik pula dengan Barisan Nasional (BN).

“PAS sepertinya tidak boleh ‘move on’ selepas berpisah dengan DAP.

“Demikian menebal cinta PAS pada DAP sehingga membuak cemburunya pada siapa jua yang cuba berkawan dengan jandanya,” katanya yang juga Menteri Pertahanan melalui kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa gabungan antara UMNO dan DAP ‘mensucikan’ DAP yang didakwanya anti-Islam susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, minggu lalu.

Menerusi artikel Minda Presiden PAS, Hadi mendakwa kemenangan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir sebagai kejayaan UMNO menubuhkan UmDAP, gelaran yang diberikan kepada kedua-dua parti terbabit.

Tambah Mohamed Khaled, PAS sering menyalahkan dan memangsakan UMNO dan DAP apabila ia tewas dalam PRK Ayer Kuning dan setakat itu sahajalah kemampuan pemikiran mereka.

“Sebenarnya PAS itulah yang mensucikan DAP dengan menikahi DAP beberapa kali sebelum ini.

“PAS rangkul erat DAP melalui kerjasama politik CCC (Chinese Consultative Committee), Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Masa itu semuanya halal dan diharuskan,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, pengundi Ayer Kuning memilih BN untuk mewakili kepentingan politik mereka dan ia secara jelas menunjukkan masyarakat mahukan politik muafakat yang progresif dan kerajaan yang bertanggungjawab.

“Mereka mengundi politik yang rasional dan berhikmah serta menolak penunggang agama. Mereka menolak fatwa politik bahawa Haji dan Umrah boleh ditangguhkan demi sebuah pilihan raya,” katanya.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan menegaskan, bagi UMNO politik masa depan Malaysia adalah mengenai keberanian mengambil risiko, apalagi dalam landskap politik yang sangat disruptif seperti sekarang.

“Justeru dalam membangun persefahaman politik masa depan, UMNO mesti meneroka segala kemungkinan.

“Termasuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan ia tidak merugikan bangsa Melayu dan Islam, menafikan hak masyarakat majmuk yang lain serta merencatkan cita-cita menjadikan Malaysia negara terbaik.

“PRK Ayer Kuning bukan sekadar kejayaan politik untuk UMNO. Ia juga adalah kejayaan moral untuk BN. Ia proses ‘mensucikan’ UMNO dari pelbagai kelemahan lepas untuk menjadi lebih baik. Tahniah Barisan Nasional,” katanya.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews