PM tegaskan tiada rancangann rombak kabinet tapi tak halang pemimpin mahu lepas jawatan | Madani News

PM tegaskan tiada rancangann rombak kabinet tapi tak halang pemimpin mahu lepas jawatan

PM tegaskan tiada rancangann rombak kabinet tapi tak halang pemimpin mahu lepas jawatan
Gambar BERNAMA

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada rencana merombak Jemaah Menteri selepas pemilihan PKR, namun tidak dapat menghalang mana-mana pemimpin yang ingin melepaskan jawatan selepas itu.

Perdana menteri berkata, tidak sama sekali beliau ingin membuat perubahan anggota Kabinet kerana pemilihan parti itu berlaku antara ‘sahabat karib dan kawan’.

“Ini pertandingan antara sahabat-sahabat karib dan kawan. Tidak timbul langsung isu rombakan Jemaah Menteri.

“Saya tidak tahu mengenai (rombakan Kabinet), tetapi kita tidak boleh menghalang sesiapa yang ada cita-cita (berundur jawatan Kabinet jika tewas pemilihan). Kalau tanya saya, tiada rencana sama sekali untuk buat apa-apa rombakan,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Taklimat Perdana Menteri bersama Ketua-ketua Pengarang Media Tempatan dan Antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Anwar diminta mengulas kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli yang menyuarakan hasrat melepaskan jawatan Kabinet sekiranya gagal mempertahankan kerusi timbalan presiden PKR, dalam pemilihan pada 23 Mei.

Rafizi, bakal bertembung satu lawan satu Nurul Izzah Anwar, bagi jawatan nombor dua parti itu.

Dilaporkan sebelum ini, bahawa beliau akan kekal sebagai Ahli Parlimen kerana masih mahu memikul tanggungjawab kepada rakyat.

Dalam pada itu, Anwar yang juga presiden PKR mengingatkan semua ahli parti agar memilih pemimpin yang mampu memperkukuh jentera parti dalam menghadapi cabaran akan datang.

“Dengan pertandingan ini, saya tekankan agar pilih (pemimpin) yang mampu bantu memperkukuh jentera parti dan merangkul segala kekuatan,” katanya.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews