PRN Johor: BN boleh menang besar sekali lagi | Madani News

PRN Johor: BN boleh menang besar sekali lagi

PRN Johor: BN boleh menang besar sekali lagi
Md. Jais Sarday

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) yang diterajui UMNO akan mengulangi kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday berkata, keyakinan itu adalah bersandarkan kredibiliti dan populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam membangunkan Johor untuk menjadi sebuah negeri yang maju

Beliau juga percaya BN akan beroleh kemenangan besar sama ada bertanding secara solo atau bekerjasama dengan mana-mana parti seperti dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

“Apa pun UMNO telah membantu dua kemenangan Parti Amanah Negara (Amanah) semasa dalam PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Amanah pula baru bantu satu kemenangan UMNO di DUN Mahkota, itu pun jenuh juga pujuk Dr. Zuhan Zain supaya tak bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md. Jais mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad yang mendesak BN menyatakan pendirian sama ada Pilihan Raya Negeri Johor akan melibatkan pertandingan dua penjuru atau tiga penjuru.

Dzulkefly berkata, penjelasan itu penting bagi membolehkan Pakatan Harapan (PH) Johor menentukan hala tuju strategik dalam menghadapi PRN akan datang.

Md. Jais menambah, parti-parti dalam PH, terutamanya Amanah, perlu bersikap rasional dan menghargai peranan mereka sebagai ‘pembangkang’ ketika PRN Johor 2022 tetapi mendapat layanan yang baik daripada kerajaan.

“Walaupun tidak berada dalam kerajaan negeri, wakil rakyat PH tetap diberikan peruntukan yang sama seperti ADUN kerajaan.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan BN Johor bersikap terbuka dan adil dalam tadbir urus negeri,” jelasnya. – MADANI NEWS