Taklimat Hal Ehwal Islam NS libatkan Exco bukan Islam | Madani News

Taklimat Hal Ehwal Islam NS libatkan Exco bukan Islam

Taklimat Hal Ehwal Islam NS libatkan Exco bukan Islam
Teo Kok Seong (dua dari kanan) turut menghadiri taklimat tersebut. - Gambar: Facebook Teo Kok Seong

SEREMBAN – Taklimat Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan yang diadakan pada 20 Mei lalu merupakan pendekatan tadbir urus yang inklusif dan bersepadu apabila kehadiran turut melibatkan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) termasuk yang bukan beragama Islam, ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), ketua-ketua agensi agama dan pegawai-pegawai daerah.

MAINS berkata, kehadiran mereka adalah atas titah dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bertujuan mendedahkan dan membuka kefahaman mengenai pentadbiran Islam di negeri ini.

Jelasnya, taklimat itu turut membentangkan pencapaian institusi agama negeri termasuk pemerkasaan pendidikan Islam, usaha digitalisasi institusi agama Islam serta pelaksanaan Modul Aulad Sejahtera iaitu sebuah inisiatif pendidikan awal kanak-kanak yang menerapkan nilai-nilai murni dan adat perpatih merentas kaum dan agama.

“MAINS juga telah mengadakan Taklimat Hal Ehwal Islam bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan pada 8 Oktober 2024 yang dihadiri oleh semua ADUN merentas parti kerajaan dan pembangkang termasuk yang bukan Islam.

“Pendekatan ini membuktikan komitmen MAINS terhadap tadbir urus Islam yang progresif, inklusif dan selari dengan aspirasi perpaduan serta kemajuan bersama seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, tular gambar seorang Exco bukan Islam di negeri ini menghadiri taklimat tersebut di Port Dickson.

Exco berkenaan yang juga ADUN Bahau, Teo Kok Seong dalam hantaran Facebook mengesahkan telah menghadiri taklimat itu. – MADANI NEWS