Tidak perlu lanjut usia persaraan kepada 65 tahun

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 20 Mei mencadangkan umur persaraan kakitangan awam dinaikkan kepada 65 tahun berbanding 60 tahun sekarang.
Alasannya, ramai masih cergas bertenaga pada usia 60 tahun. Justeru wajar khidmat mereka ditambah lima tahun lagi. Namun beliau menegaskan,cadangan itu hanya pandangan peribadi.
Perlukah umur persaraan dilanjut? Penulis tidak pasti apa pendapat orang lain, atau dalam kalangan kakitangan awam sendiri. Tetapi jika ditanya pandangan penulis, jawapannya ialah tidak perlu. Ia seolah-olah tidak meletakkan nokhtah muktamad umur persaraan.
Perlu diingat, umur bersara kakitangan awam di negara ini sudah tiga kali diubah suai sejak dua dekad lalu dengan meminda Akta Pencen 1980. Umur persaraan 55 tahun dinaikkan kepada 56 tahun pada 2001. Pada 2008 ia dinaikkan kepada 58 tahun, seterusnya kepada 60 tahun pada 2012 hingga sekarang.
Hendak diubah lagi umur bersara? Mungkin pekerja lama banyak pengalaman tetapi apa jaminan mereka masih produktif, mampu memberi sumbangan berguna kepada tempat kerja? Tidak mungkinkah nanti ia sekadar untuk terus bekerja mendapat gaji, bukan komitmen untuk menyumbang bakti?
Dalam sistem sekarang, penjawat awam dibenar memilih bersara pada umur 55 tahun, atau 58 tahun atau 60 tahun. Ramai juga memilih bersara pada umur 55 tahun atau 58 tahun, bukan pada umur maksimum 60 tahun.
Bagi penulis, opsyen ini diberi untuk pekerja menilai diri sendiri sehingga tahap mana mampu bekerja dengan penuh minat dan dedikasi. Pekerja yang benar-benar ikhlas boleh menilai kemampuan diri dengan jujur. Oleh itu apabila sampai pada tahap tertentu, lebih baik berundur.
Namun tidak kurang terdapat ramai, walau pun mungkin masih sihat, tetapi jiwa raga sebenarnya sudah tidak tertumpu kepada kerja. Bagi mereka, lebih didorong oleh faktor keperluan kewangan. Yang penting terima gaji setiap bulan hingga waktu mandatori untuk berundur.
Dalam situasi seperti ini, pekerja hanya seperti kayu mati (dead wood), hanya jadi penumpang dalam sistem. Prestasi tidak efektif dan tidak proaktif memberi sumbangan dalam perkhidmatan.
Ini amat tidak adil kepada pekerja yang masih cergas dan memberi sumbangan bernas dalam pekerjaan, juga kepada organisasi di mana mereka bekerja. Wajarkah isu ini dibiar berterusan?
Tidak dinafi ada yang mencecah usia lebih 60 tahun masih sihat dan mampu bekerja. Tetapi tidak perlu kerana itu umur persaraan dilanjut. Patuhi umur bersara sekarang. Lagi pun, mereka yang telah lama bekerja seeloknya berehat pada usia emas, menghabiskan sisa hidup bersama keluarga dan anak cucu.
Lanjutan umur persaraan juga boleh menghalang kemasukan tenaga kerja baharu ke dalam pasaran, atau menyekat peluang kenaikan pangkat kaki tangan bawahan.
Setiap tahun puluhan ribu lulusan dilahirkan oleh universiti, kolej, maktab perguruan dan pelbagai institusi pengajian tinggi. Kesemuanya bakal mencari kerja. Persaingan sengit kerana ramai bersaing sedangkan kerja tidak banyak. Penawaran melebihi permintaan.
Jika umur bersara dinaikkan, dan ramai terus berada dalam sistem kerja, lagi sukar untuk para lulusan mendapat kerja kerana ruang kekosongan sempit. Lalu bagaimana untuk mengatasi atau meminimumkan masalah lambakan tenaga kerja?
Setiap pekerja mengharap peningkatan dalam kerjaya, memperoleh peluang naik pangkat. Jika penyandang jawatan belum bersara, peluang naik pangkat bagai tertutup atau sangat sempit. Tentu ini mengecewakan pekerja yang telah lama menabur bakti.
Oleh itu tidak perlu diganggu ketetapan usia persaraan wajib sekarang. Biar berada pada angka 60 tahun. Biarlah cadangan Azalina terus tinggal sebagai pandangan peribadi.
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews