UMNO patut ambil iktibar peletakan jawatan Tengku Zafrul – Md. Jais

JOHOR BAHRU – Peletakan jawatan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz daripada semua jawatan dalam UMNO dan pengumuman hasratnya untuk menyertai PKR adalah satu babak dalam ‘cerita politik’ yang wajar dijadikan iktibar oleh semua ahli dan pemimpin UMNO.
Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday berkata, pengumuman tersebut yang dibuat secara terbuka dalam media sosial termasuk peletakan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberi gambaran jelas bahawa langkah ini bukan dibuat secara spontan.
Menurut beliau, tindakan itu dipercayai bukan sahaja dirancang lebih awal malah, tidak mustahil terdapat ‘sutradara’ di sebalik keputusan politik tersebut.
“Apa yang pasti, beliau telah meninggalkan UMNO. Biarlah Tengku Zafrul terus melangkah dan dipertimbang keanggotaan dalam PKR.
“Bagi kita di UMNO, barang yang lepas jangan dikenang, namun pengajarannya perlu dimanfaatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam Tengku Zafrul memaklumkan beliau telah menghantar surat peletakan semua jawatan dalam UMNO.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan niat untuk menyertai PKR yang merupakan sekutu Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.
Md. Jais menambah, Tengku Zafrul ialah seorang tokoh korporat iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB yang dilantik menjadi menteri semasa pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.
Beliau memberitahu, pelantikannya sebagai menteri mewakili kuota UMNO, pada ketika itu tidak dibincang dengan terperinci dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kerana telah diketepikan oleh gerakan politik Langkah Sheraton.
“Kemudian khidmatnya sebagai menteri disambung dalam Kerajaan Perpaduan atas ‘faktor tertentu’,” jelasnya.
Md. Jais berkata, UMNO sebelum ini juga pernah melantik tokoh-tokoh teknokrat untuk membantu kerajaan, antaranya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (bekas pegawai kanan Bank Negara Malaysia), Tan Sri Idris Jala (bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS dan Shell) serta Tan Sri Abdul Wahid Omar (bekas Ketua Pegawai Eksekutif Maybank).
Namun katanya, berbeza dengan Tengku Zafrul, ketiga-tiga tokoh berkenaan tidak mencampuri urusan parti.
“Mereka hanya fokus kepada peranan dan tanggungjawab dalam kerajaan, walaupun ada usaha untuk membawa mereka ke dalam kepimpinan parti.
“Tengku Zafrul pula telah meletakkan dirinya dalam struktur UMNO, memegang jawatan penting dalam parti tanpa melalui proses biasa yang dilalui oleh ahli lain.
“Justeru, tindakan beliau keluar parti menimbulkan persoalan terhadap ketulenan komitmen beliau terhadap perjuangan UMNO,” katanya.
Sehubungan itu, Md. Jais berharap UMNO tidak mengulangi keghairahan melantik tokoh korporat atau teknokrat ke dalam hierarki parti tanpa melalui proses parti.
“Mereka mungkin mempunyai kemahiran teknikal dan imej yang baik, tetapi belum tentu memahami denyut nadi perjuangan UMNO,” ujarnya.
Beliau berkata, kepercayaan dan peluang seharusnya diberikan kepada tokoh korporat atau profesional yang telah melalui proses parti, yang sudah lama berjuang bersama UMNO walaupun tidak begitu dikenali.
“Kesetiaan dan kefahaman terhadap asas perjuangan parti lebih penting daripada nama besar atau profil korporat,” katanya.
Md. Jais berkata, UMNO adalah parti perjuangan yang lahir daripada semangat kebangsaan untuk memelihara agama Islam, bangsa Melayu, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kedaulatan Tanah Melayu.
“Parti perjuangan tidak boleh dikorporatkan.
“Namun, sekiranya ada usaha membawa masuk tokoh profesional dari luar, mereka mestilah menepati nilai, semangat dan disiplin perjuangan parti, bukan sekadar tampil dengan reputasi luar yang cemerlang,” jelasnya. – MADANI NEWS