Kenderaan Singapura tiada VEP akan disaman RM300 mulai 1 Julai | Madani News

Kenderaan Singapura tiada VEP akan disaman RM300 mulai 1 Julai

Kenderaan Singapura tiada VEP akan disaman RM300 mulai 1 Julai
Gambar FB Media Digital Johor

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan kereta persendirian individu dari Singapura yang tidak mendaftar atau mengaktifkan permit kemasukan kenderaan (VEP) mulai 1 Julai ini akan disaman RM300.

“Kalau mereka (kenderaan persendirian individu) tiada VEP sah dan mereka memasuki Malaysia, mereka akan dikenakan saman RM300 dan saman itu perlu dibayar sebelum mereka meninggalkan Malaysia.

“Mengapa kita laksanakan 1 Julai ini? Ini kerana masa yang telah diberikan agak panjang seperti yang kita katakan, kita bermula dengan ‘soft approach’ advokasi pada 1 Okt 2024,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya, lapor FMT

Untuk kenderaan persendirian syarikat yang sudah mendaftar tetapi tidak mengaktifkan VEP, beliau berkata, pihak berkuasa memberi kelonggaran dengan hanya mengeluarkan notis peringatan.

“Sebab kategori ini melibatkan banyak proses. Ia perlu memberikan banyak dokumen syarikat dan sebagainya.

“Kalau mereka langsung tidak ada buat apa-apa pendaftaran, maka saman akan dikeluarkan kepada mereka yang membawa kenderaan persendirian syarikat.”

Menurutnya, operasi penguatkuasaan VEP akan dilaksanakan di luar kawasan pintu masuk sempadan bagi mengelakkan kesesakan.

Loke berkata, saman perlu dibayar melalui kaedah tanpa tunai di kaunter pejabat atau bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau atas talian (MyEG).

“JPJ menyeru semua pemilik kenderaan asing segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari Malaysia,” katanya sambil menambah penguatkuasaan VEP selaras Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya 52,012 kenderaan Singapura diperiksa secara rawak dan 2,245 atau 4.32% notis peringatan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan belum mendaftar VEP sejak penguatkuasaan fasa pertama mulai 1 Okt 2024.

Setakat Isnin lalu, sebanyak 231,018 tag RFID dikeluarkan untuk kenderaan persendirian individu dan 2,660 untuk kenderaan persendirian syarikat.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews