Pangkat dan pingat kebesaran hanya untuk yang berjasa, bukan untuk dibeli - YDP Agong | Madani News

Pangkat dan pingat kebesaran hanya untuk yang berjasa, bukan untuk dibeli – YDP Agong

Pangkat dan pingat kebesaran hanya untuk yang berjasa, bukan untuk dibeli – YDP Agong


YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menegaskan penganugerahan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan bukan untuk dibeli atau dilobi, sebaliknya hanya diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta berjasa kepada kerajaan dan negara.

Sultan Ibrahim bertitah walaupun kerajaan menggariskan syarat untuk dipertimbangkan, baginda tetap akan menilai semula setiap calon yang dicadangkan.

“Mengikut telek pandang saya, hanya individu yang telah lama berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, atau yang telah mengharumkan nama negara wajar diperkenankan.

“Memang setiap tahun tidak banyak yang melepasi syarat tersebut. Walaupun ada pihak yang melobi, saya tidak akan layan.

“Pangkat Datuk dan Tan Sri bukan untuk dibeli. Kalau ada yang banyak sangat duit, buatlah amal jariah, bantu orang miskin yang memerlukan,” titah Seri Paduka Baginda.

Sehubungan dengan itu, Sultan Ibrahim bertitah penerima pangkat pada hari ini seharusnya menghargai dan berbangga dengan anugerah yang dikurniakan.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Kuala Lumpur hari ini.

Turut berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Hadir sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta barisan anggota kabinet.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada seluruh negara atas ucapan tahniah serta doa yang sentiasa mengiringi setiap langkah baginda menjalankan tugas dan amanah sebagai ketua negara.

“Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan semua acara sempena sambutan hari keputeraan saya pada tahun ini.

“Marilah kita berdoa ke hadrat Allah SWT semoga Malaysia tercinta ini sentiasa dilimpahi rahmat dan diberkati, kekal aman, maju dan makmur,” titah baginda.

BERNAMA