PAS tetap kekal tradisi kepimpinan ulama - Tuan Ibrahim | Madani News

PAS tetap kekal tradisi kepimpinan ulama – Tuan Ibrahim

PAS tetap kekal tradisi kepimpinan ulama – Tuan Ibrahim

PAS tetap berpegang kepada perlembagaan parti dalam memilih pucuk pimpinannya dengan prinsip mengekalkan tradisi kepemimpinan ulama.

TIMBALAN Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya terbuka dan memberikan kebebasan kepada mana-mana calon, namun haruslah menerima dasar parti yang berlandaskan kepada al-Quran, hadis, ijtimak dan qias.

“Dalam bidang politik, banyak benda baharu yang perlu dibuat secara ijtihad, justeru perlu ada kepakaran untuk membuat sesuatu keputusan yang tidak melanggar hukum syarak.

“Bukan kita menolak golongan profesional, malah ramai ahli kita adalah dalam kalangan profesional yang mahir hafal al-Quran dan mendalami ilmu agama, ijtihad dan sebagainya,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan PAS kali ke 58 Kawasan Kota Bharu di Dewan Kelantan Trade Centre hari ini, memetik laporan BH Online.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Media sebelum ini melaporkan, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan itu atas faktor kesihatan.

Difahamkan, Ahli Parlimen Marang berkenaan menyampaikan hasrat itu kepada barisan kepemimpinan tertinggi dalam satu retreat parti yang diadakan di Hotel Primula, Terengganu.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, tampuk kepemimpinan PAS perlu datang dalam kalangan ulama berikutan perkaitan rapat kedua-dua jawatan tertinggi itu dengan Majlis Syura Ulama.

“Dalam parti PAS ini terdapat Majlis Syura Ulama yang mana ahlinya mesti dalam kalangan ulama.

“Presiden dan Timbalan Presiden PAS adalah ahli Majlis Syura Ulama, dengan kata lain presiden dan timbalan presiden PAS mesti dalam kalangan ulama… selesai,” katanya.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews