Yusoff Rawther lepas, bebas serta-merta daripada tuduhan miliki dadah, pistol tiruan | Madani News

Yusoff Rawther lepas, bebas serta-merta daripada tuduhan miliki dadah, pistol tiruan

Yusoff Rawther lepas, bebas serta-merta daripada tuduhan miliki dadah, pistol tiruan

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas pembantu penyelidik ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther tanpa dipanggil membela diri atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan.

Pada 12 September 2024, Muhammed Yusoff, 32, didakwa di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 sebatan.

Dia juga menghadapi satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara, di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September 2024, memetik laporan BH Online.

Bagi tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 28 April lalu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman memaklumkan pihak pendakwaan menutup kes itu selepas memanggil 13 saksi dalam perbicaraan yang bermula pada 7 April lalu.

Antara saksi ialah Ketua Serbuan Ops Laras yang juga pegawai polis di Bahagian Siasatan Khas (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Inspektor Wan Muhammad Wan Ali, 37.

Saksi lain adalah Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Inspektor Muhammad Zuhairi Md Zuhir, 36, dan ahli kimia, Harlisa Haidhir Harminder daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan turut menawarkan tujuh saksi kepada pasukan pembelaan sekiranya tertuduh diperintah membela diri.

Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews