Golf Amal Klinik Waqaf An-Nur raih hampir RM600,000 untuk dana rawatan dialisis

KEJOHANAN Golf Amal Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) 2025 yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-25 Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) berjaya mengumpul dana sebanyak RM588,877 bagi menyokong operasi lebih 20 Klinik Waqaf An-Nur di seluruh negara.
Kejohanan yang kali terakhir diadakan pada 2023 itu menjadi simbol perjalanan dua dekad lebih Waqaf An-Nur dalam memperkasa perkhidmatan kesihatan berasaskan wakaf serta kebajikan ummah, sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah khususnya dalam penjagaan nyawa.
Menurut kenyataan Waqaf An-Nur, dana yang dikumpul akan disalurkan sepenuhnya kepada Dana KWAN, khusus untuk menampung kos rawatan dialisis pesakit kurang berkemampuan.
Sokongan Korporat Kukuh
Kejohanan kali ini turut mendapat sokongan padu sektor korporat. KPJ Healthcare Berhad tampil sebagai penaja utama dengan sumbangan berjumlah RM200,000, manakala Johor Corporation dan Larkin Property Sentral Berhad masing-masing menyumbang RM50,000 di bawah kategori penaja utama. Lebih 10 syarikat lain turut serta memberikan sumbangan sebagai tanda sokongan terhadap misi kebajikan ini.
Penganjuran acara ini juga menzahirkan komitmen Waqaf An-Nur terhadap prinsip Environmental, Social & Governance (ESG) dengan memfokuskan kepada pembangunan sosial, jaringan komuniti, serta kelestarian jangka panjang melalui wakaf.
Inisiatif Baharu di Johor Bahru
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses kepada rawatan kesihatan wakaf, Waqaf An-Nur turut melancarkan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Klinik bergerak ini beroperasi dari hari Rabu hingga Ahad, jam 8 malam hingga 12 tengah malam di lobi utama HSA. Ia menawarkan rawatan kes ringan (Level 5), ubat-ubatan asas, dan pengeluaran sijil cuti sakit.
Selain itu, KWAN juga bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor dalam melaksanakan perkhidmatan lokum di Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma di HSA serta Hospital Sultan Ismail (HSI), bagi mengurangkan kesesakan pesakit.
Majlis pelancaran klinik bergerak tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi pada 17 Jun 2025.
Waqaf An-Nur Corporation Berhad ialah sebuah syarikat berhad tanpa syer yang dilantik sebagai Nazir Khas oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk menguruskan aset wakaf Johor Corporation. Kini, ia turut membuka penyertaan wakaf kepada orang awam melalui program seperti Hibah Lil Waqaf, Amanah Dana PMB An-Nur Waqf Income Fund, dan pewakafan yuran keahlian. – MADANI NEWS