Menjelang demo Turun Anwar, AGC tegaskan kebenaran penjawat awam berhimpun ‘bukan hak mutlak’

MENJELANG perhimpunan anti-kerajaan yang dijadual Sabtu ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini tampil menegaskan bahawa hak untuk bersuara dan berhimpun yang dijamin Perlembagaan tidak bermaksud ia boleh diamalkan sewenang-wenangnya – terutama oleh penjawat awam.
Dalam kenyataan rasmi, AGC menekankan bahawa walaupun Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak bersuara dan berhimpun secara aman, hak tersebut “tidak bersifat mutlak” dan tertakluk kepada undang-undang serta arahan sedia ada.
“Setiap penjawat awam terikat dengan surat aku janji dan peraturan perkhidmatan. Mereka tidak boleh bertindak bertentangan dengan kepentingan perkhidmatan awam dan kerajaan,” kata AGC.
Kenyataan itu hadir hanya 72 jam sebelum demonstrasi mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim meletak jawatan berlangsung di ibu negara – satu perhimpunan yang dibantah keras oleh Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar.
Terdahulu, Shamsul Azri mengingatkan bahawa penjawat awam perlu berpegang teguh kepada prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara, seperti terkandung dalam Rukun Negara.
“Setiap minggu baca ikrar, tetapi bila diajak berhimpun, lupa semua? Jangan seleweng peranan sebagai penjawat awam,” tegas beliau.
AGC turut memberi amaran bahawa kegagalan mematuhi arahan dan peraturan boleh membawa kepada tindakan tatatertib, termasuk kerana mencemar nama baik perkhidmatan awam atau membuat kenyataan yang memburukkan kerajaan. – MADANI NEWS