Semua MRSM cuti esok raikan kejayaan pasukan Ragbi MRSM Balik Pulau - Asyraf | Madani News

Semua MRSM cuti esok raikan kejayaan pasukan Ragbi MRSM Balik Pulau – Asyraf

Semua MRSM cuti esok raikan kejayaan pasukan Ragbi MRSM Balik Pulau – Asyraf

SEMUA Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara diisytiharkan cuti khas pada Isnin, 28 Julai sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan pasukan ragbi MRSM Balik Pulau (BP Cougars) yang menjuarai Kejohanan Super Schools Rugby 2025.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran media sosial malam ini, susulan pencapaian bersejarah MRSM Balik Pulau yang menewaskan pasukan pilihan Victoria Institution (VI) dengan keputusan tipis 14-13 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Taman Ekuestrian Putrajaya.

“Tahniah MRSM BP Cougars. Semua MRSM di seluruh negara diisytiharkan cuti esok (28 Julai 2025) bersempena dengan kejayaan ini,” tulis beliau ringkas.

Kemenangan dramatik itu sekali gus menjadikan BP Cougars sebagai pasukan MRSM pertama yang menjuarai kejohanan ragbi sekolah berprestij tersebut sejak mula menyertainya 10 tahun lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, turut menzahirkan ucapan tahniah menerusi media sosial, menyifatkan kejayaan tersebut sebagai detik manis buat warga MRSM dan institusi MARA.

“Lebih manis lagi apabila kejayaan ini diraih dengan menewaskan pasukan hebat Victoria Institution dalam aksi final yang cukup sengit. Syabas MRSM Balik Pulau kerana terus mengharumkan nama sekolah dan institusi MARA,” katanya.

MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews