Gempa bumi Segamat: Tiada kerosakan, kecederaan dan kemalangan jiwa dilapor

TIADA sebarang laporan kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa diterima setakat ini susulan gegaran gempa bumi lemah berukuran 4.1 magnitud yang melanda daerah Segamat pagi tadi.
Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat berkata gegaran berlaku pada 6.13 pagi dengan pusat gempa dikesan berhampiran Segamat.
Gegaran itu turut dirasai sebahagian penduduk di daerah berkenaan serta beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang.
“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada laporan kerosakan harta benda, kecederaan mahupun kemalangan jiwa yang diterima,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihak berkuasa keselamatan serta agensi berkaitan sedang menjalankan pemantauan lanjut bagi memastikan keadaan di Segamat selamat terutama untuk orang awam.
Sehubungan dengan itu, Mohd Ezzuddin meminta orang ramai bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian berkenaan.
Orang ramai juga dinasihatkan mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan agensi kerajaan lain serta melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa.
“JPBD Segamat melalui Pejabat Daerah Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.
Sementara itu, MetMalaysia dalam kenyataan berasingan memaklumkan satu lagi kejadian gempa bumi lemah berlaku di 28km Barat Laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 kilometer pada 9 pagi tadi.
Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Selatan Pahang dan MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini.
“Orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi diminta mengisi borang soal selidik melalui pautan https://forms.gle/wnvUfvdCEs9k64Uv5,” menurut MetMalaysia.
— BERNAMA