Lelaki nyaris rentung bersama motosikalnya yang terbakar selepas membakar dua kereta | Madani News

Lelaki nyaris rentung bersama motosikalnya yang terbakar selepas membakar dua kereta

Lelaki nyaris rentung bersama motosikalnya yang terbakar selepas membakar dua kereta

SEORANG lelaki nyaris rentung selepas motosikal yang ditungganginya turut disambar api sejurus membakar dua buah kereta di sebuah rumah di Taman Bukit Katil Permai, Melaka dalam kejadian pada Sabtu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.38 tengah hari itu tular di media sosial selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kelibat suspek yang dipercayai bertindak membakar kenderaan terbabit sebelum melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemilik rumah yang juga seorang anggota polis, Mohamad Idris Mokhtar di Balai Polis Kandang pada jam 2.29 petang hari sama.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati dua buah kereta jenis Perodua Bezza dan Perodua Axia yang diletakkan di garaj rumah tersebut musnah terbakar, manakala sebuah motosikal jenis SYM ditemui hangus di tengah jalan berhampiran lokasi kejadian.

“Motosikal yang terbakar dipercayai milik suspek dan ditinggalkan di lokasi. Tiada saksi bebas ditemui ketika kejadian berlaku, namun beberapa rakaman CCTV dari rumah mangsa sedang diteliti,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad, lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, anggaran jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut sedang dijalankan, termasuk mengenal pasti motif kejadian serta usaha mengesan suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MADANI NEWS