1.7 juta rakyat belanja RM110 juta sumbangan SARA | Madani News

1.7 juta rakyat belanja RM110 juta sumbangan SARA

1.7 juta rakyat belanja RM110 juta sumbangan SARA

SELEPAS dua hari pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 seorang dan penyaluran SARA bulanan, lebih 1.7 juta penerima sudah berbelanja dengan jumlah transaksi mencecah RM110 juta di seluruh negara.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, setakat jam 9.30 malam, lebih 900,000 rakyat berjaya menyempurnakan perbelanjaan mencecah RM60 juta di seluruh negara hingga malam tadi.

“Hari kedua pelaksanaan Penghargaan SARA dan penyaluran SARA bulanan terus mencatat transaksi yang tinggi.

“Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima telah berjaya berbelanja dalam tempoh dua hari dengan nilai jualan mencecah RM110 juta di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 850,000 rakyat berbelanja lebih RM50 juta pada Ahad iaitu hari pertama pelaksanaan Penghargaan SARA setakat jam 9.30 malam.

Penghargaan SARA RM100 merupakan bantuan tunai diberikan kepada lebih 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang dikreditkan ke dalam MyKad.

MoF menjelaskan, berikutan ledakan transaksi yang direkodkan pada Ahad, peningkatan kapasiti sistem yang dilaksanakan oleh MyKasih telah membolehkan 20 peratus lebih banyak transaksi diproses hari ini.

Katanya, meskipun kapasiti telah dipertingkatkan, sistem masih mencatatkan kesesakan pemprosesan transaksi di beberapa lokasi.

“Beberapa pasar raya besar di kawasan bandar turut mengalami kesesakan semasa waktu puncak antara jam 1 hingga 2.30 petang.

“Bagi menguruskan situasi ini, petugas MyKasih telah ditempatkan di pasar raya besar untuk membantu menyelesaikan isu secara terus di lapangan dan memberikan sokongan kepada peniaga,” ujarnya.

Justeru, MoF menasihatkan orang ramai supaya merancang pembelian pada waktu bukan puncak, seperti pagi pada hari bekerja bagi mengelakkan kesesakan dan melancarkan urusan pembelian.

Kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. – MADANI NEWS