Burung bangau punca pesawat Hornet TUDM terhempas di Kuantan

TERLANGGAR burung bangau seberat kira-kira satu kilogram dikenal pasti punca jet pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas di Pengkalan Udara Kuantan, 21 Ogos lalu.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, hasil siasatan Lembaga Siasatan ditubuhkan mendapati kesan pelanggaran seekor burung itu menyebabkan enjin pesawat gagal berfungsi.
Menurutnya, pelanggaran itu berlaku ketika pesawat mula terbang pada ketinggian kira-kira hampir 10 meter.
Hasil siasatan juga turut menemui cebisan bangkai burung tersangkut di enjin pesawat, lapor Harian Metro.
“Kejadian itu menyebabkan jet pejuang hilang kuasa dan juruterbang mengambil tindakan menggunakan kerusi lenting pada ketinggian kira-kira 50 meter di udara untuk melompat keluar dari jet dan pesawat terhempas,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.
Nahas berlaku jam 9.05 malam itu menyebabkan juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor pesawat, Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, tercedera.
Ketika kejadian, pesawat itu sedang melakukan latihan terbang malam dan jet pesawat terhempas itu musnah sepenuhnya.
Muhamad Norazlan berkata, lembaga siasatan mula bersidang 22 Ogos iaitu sehari selepas kejadian untuk mengenal pasti punca kemalangan itu.
Menurutnya, Lembaga Siasatan disertai tenaga pakar TUDM dibantu polis, Jabatan Kimia, Tentera Laut Amerika Syarikat dan Defense Science and Technology Research Institute (STRIDE).
“Hasil siasatan awal memberi keyakinan bahawa kemalangan pesawat itu berpunca daripada ‘birdstrike’ ketika fasa pesawat berlepas.
“Penemuan itu disokong analisa rakaman video kamera litar tertutup (CCTV), analisa data daripada ‘Deployable Flight Incident Recorder System’ (DFIRS) dan data teknikal serta analisa Jabatan Kimia.
“Burung dilanggar pesawat itu dikenal pasti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) ialah bangau yang dikesan ada di landasan sebelum kejadian,” katanya.
Muhamad Norazlan berkata, menyedari kehadiran burung spesies ‘purple heron’ itu usaha pengusiran dilakukan sebelum pesawat terbabit berlepas.
Menurutnya, susulan laporan pengesahan punca nahas disebabkan terlanggar burung dan bukan masalah enjin, TUDM serta-merta membatalkan penggantungan operasi jet pejuang F/A-18D Hornet dan pesawat itu dibenarkan terbang semula.
TUDM kini mempunyai baki tujuh lagi jet pejuang model itu dan pesawat itu digunakan sejak 1996.
Kejadian jet pejuang milik TUDM terhempas kerana terlanggar burung itu adalah kes pertama. – MADANI NEWS