Enam letupan bom gegarkan Narathiwat, dua cedera

ENAM siri letupan bom menggegarkan lima daerah di wilayah Narathiwat, Thailand lewat malam Sabtu hingga awal pagi Ahad, mengakibatkan dua individu cedera.
Menurut Pejabat Perhubungan Awam Wilayah Narathiwat, insiden bermula kira-kira jam 7.40 malam di Lebuhraya 4056 berhampiran landasan kereta api Kampung Aibatu, Sungai Padi, apabila tayar dibakar dan objek mencurigakan ditinggalkan di atas jalan.
Tidak lama selepas itu, sebuah bom meletup ketika kenderaan Ketua Kampung Dusongyo dan seorang sukarelawan melintasi kawasan berkenaan. Kedua-dua mangsa, Asuding Kureng, 32, dan Fasree Maming, 28, mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Sungai Padi.
Letupan lain menyusul di Chanae, masing-masing berhampiran Masjid Dusongyo pada 11.55 malam dan di Pasar Dusongyo pada 12.30 pagi, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Selain itu, bom turut diletupkan di hadapan cawangan Bank Pertanian dan Koperasi Pertanian (BAAC) di Bacho, serta di daerah Cho-airong dan Si Sakhon, menyebabkan kerosakan pada beberapa kemudahan awam termasuk mesin ATM.
Pihak berkuasa percaya siri serangan itu adalah tindakan sabotaj terancang oleh kumpulan tidak dikenali.
Komander Wilayah Tentera Keempat, Leftenan Jeneral Paisal Nusang, mengarahkan kawalan keselamatan diperketatkan di semua pos pemeriksaan, kawasan ekonomi dan laluan strategik. Pemeriksaan terhadap kenderaan serta individu mencurigakan juga ditingkatkan di bawah Pelan Keselamatan Sempadan 2025.
– MADANI NEWS