Malaysia sasar jadikan The Ladies kejohanan golf wanita elit dunia – Lee Kim Yew

MALAYSIA bertekad menjadikan The Ladies’ Golf Tournament 2025 sebagai kejohanan golf wanita elit bertaraf dunia, sekali gus mengangkat nama negara di pentas antarabangsa.
Kejohanan yang bakal berlangsung di The Mines Resort & Golf Club, Selangor dari 12 hingga 15 Oktober depan itu akan menghimpunkan 60 pemain wanita tempatan – terdiri daripada 30 pemain profesional dan 30 amatur – yang akan bersaing dalam format 54 lubang tanpa cut.
Hadiah keseluruhan RM100,000 ditawarkan dengan juara membawa pulang RM17,500.
Pengasas The Mines Resort & Golf Club, Tan Sri Lee Kim Yew, berkata penganjuran itu lahir daripada visinya untuk meraikan kekuatan serta bakat wanita dalam golf, selain membuka laluan baharu kepada generasi muda.
“Di tengah hati Malaysia, saya impikan sebuah kejohanan untuk meraikan kehebatan dan ketabahan wanita dalam golf. Setiap hayunan menceritakan kisah kerja keras, setiap putt pula langkah berani menembusi halangan,” katanya dalam sidang akhbar sempena pengumuman mengenai kejohanan itu di Kuala Lumpur, hari ini.
Kim Yew turut menyeru kerajaan untuk memberi sokongan penuh agar The Ladies’ mampu berkembang menjadi kejohanan berprestij dunia. Beliau yakin kerjasama kerajaan dan pihak swasta akan melonjakkan Malaysia sebagai destinasi utama golf wanita di rantau Asia.
The Mines sebelum ini pernah mencatat sejarah apabila menjadi tuan rumah Women’s World Cup of Golf 2000 yang menghimpunkan bintang dunia. Menurut Kim Yew, penganjuran kali ini adalah kesinambungan tradisi itu dengan matlamat menjadikan Malaysia tuan rumah kejohanan wanita berstatus tinggi, setanding acara antarabangsa lain.
Kejohanan ini dianjurkan dengan kerjasama Professional Golf of Malaysia (PGM) serta sokongan penaja utama Golden Horse Digital Investment Bank. Penganjur yakin edisi 2025 akan membuka jalan kepada penyertaan antarabangsa pada tahun-tahun mendatang.
Sorotan jadual kejohanan
12 Okt (pagi): Pro-Am
12 Okt (petang): Pusingan latihan
13 Okt: Pusingan 1
14 Okt: Pusingan 2
15 Okt: Pusingan akhir & majlis penutup
MADANI NEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN
Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews