Video tular babit Azmin adalah tulen, beliau tidak layak jadi pemimpin – Wan Saiful

DI SEBALIK dakwaan terlibat dalam isu Akaun Bersumpah menolak Presiden Bersatu, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini membangkitkan kembali isu video tular yang dikatkan dengan Datuk Seri Azmin Ali pada 2019.
Beliau membuat kenyataan yang video intim itu adalah tulen dan sehubungan itu Azmin tidak layak menjadi pemimpin selagi kontroversi berhubung ‘video melampau’ yang didakwa membabitkan dirinya belum diselesaikan.
Wan Saiful berkata beliau pada awalnya adalah sebahagian daripada kumpulan Azmin dalam Bersatu, bahkan menyokong bekas menteri itu untuk menjadi timbalan presiden parti pada perhimpunan agung Julai 2024 kerana merasakan Azmin layak untuk jawatan terbabit.
Apabila presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pelantikan Azmin sebagai setiausaha agung Bersatu, Wan Saiful berkata beliau menerima keputusan itu.
“Sebaik sahaja selepas perhimpunan, saya menerima maklumat baharu mendakwa siasatan forensik terhadap video melibatkan Azmin di Sandakan mendapati video itu adalah tulen.
“Ini mengubah pendirian saya terhadap Azmin dan saya menyuarakan pandangan kepada beberapa pihak bahawa selagi isu video ini tidak diselesaikan, Azmin tidak sesuai untuk menjadi pemimpin Bersatu,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Wan Saiful berkata walaupun penganiayaan politik mesti dilawan, skandal moral tidak boleh diterima dalam Bersatu, memetik laporan FMT.
“Kalau ia penganiayaan politik, ya, kita mesti pertahankan (pemimpin kita) dan lawan. Tetapi kalau ia isu penyimpangan moral, maka mereka tidak sesuai untuk parti seperti Bersatu. Parti lain mungkin boleh menerimanya, tetapi bukan Bersatu.”
FMT telah menghubungi Azmin untuk mendapat maklum balas.
Pada 2019, beberapa klip video tular yang didakwa menunjukkan Azmin bersama seorang lelaki melakukan perbuatan homoseksual di Hotel Four Points, Sandakan, Sabah.
Haziq Aziz, ketua Pemuda PKR Santubong ketika itu mengeluarkan rakaman pengakuan dengan menamakan dirinya dan Azmin sebagai dua lelaki dalam klip video terbabit.
Azmin, yang ketika itu menteri hal ehwal ekonomi dan timbalan presiden PKR menafikan dakwaan itu dan berkata ia plot untuk menghancurkan kerjaya politiknya.
Sementara itu, CyberSecurity Malaysia memutuskan klip video itu adalah tulen namun wajah individu terbabit tidak dapat dilakukan kerana resolusi rakaman yang rendah dan kabur.
Ketika itu, peguam negara Tommy Thomas berkata klip video berkenaan turut dihantar kepada pakar forensik di Amerika Syarikat yang mengesahkan dapatan CyberSecurity Malaysia.
Thomas berkata, itulah sebabnya mereka memutuskan untuk tidak mendakwa mana-mana individu yang dikaitkan dengan video itu.