Ada pemimpin MCA, MIC merajuk bila tak dapat ‘mainan’ – Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata satu kajian dibuat mendapati ahli-ahli MCA dan MIC tidak mahu parti itu meninggalkan BN yang telah disertai puluhan tahun.
Presiden Umno itu berkata terdapat di kalangan pemimpin parti itu yang “merajuk” apabila tidak diberikan “mainan”, namun suara mereka tidak mencerminkan sentimen sebenar akar umbi.
“Kita membuat kajian, ahli di bawah tidak mahu keluar daripada BN, tetapi satu tokoh-tokoh itu mungkin mereka perlukan toys, jadi apabila tidak dapat toys lagi, maka mereka hentak-hentakkan kaki di lantai,” katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia.
Menurut Ahmad Zahid, dia telah bertemu dengan pimpinan MCA dan MIC “dua hingga tiga kali” dalam minggu ini ketika ditaya mengenai hubungan dengan kedua-dua parti iut,
Ahmad Zahid juga berkata ahli-ahli MIC tidak disekat untuk bertemu Bersatu.
“Kita mempunyai sikap terbuka, mereka boleh jumpa, mereka boleh berbincang, tetapi bila mahu membuat keputusan, mereka mesti memaklumkan kepada dewan tertinggi BN,” katanya.
Ditanya apakah kerajaan perpaduan meminggirkan MCA dan MIC, Ahmad Zahid berkata di peringkat awal pembentukan kerajaan, kedua-dua parti itu sendiri menolak untuk menerima jawatan.
“Tetapi kalau sekarang mereka mahu, tunggulah pilihan raya umum akan datang bila parti-parti perkenaan dan UMNO sendiri berprestasi, maka kita pasti berusaha ke arah meletakkan semua rakan-rakan di dalam kedudukan Kabinet, tetapi yang penting kita menang dulu,” katanya.
Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa setakat ini ahli Parlimen MCA dan MIC masih menghadiri mesyuarat serta program BN .
Menyifatkan kedua-dua parti itu sebagai “rakan teras”, dia berkata : “keunikan kita ialah kita boleh berbeza pendapat,tetapi apabila kita membuat keputusan, kita buat keputusan bersama.”
Terdahulu, Presiden MIC, SA Vigneswaran, berkata dia bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti politik demi memastikan kelangsungan parti dan memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat India.
“Kita telah memutuskan bahawa seorang pemimpin mesti bertindak demi kepentingan parti. Jadi, saya telah membuat keputusan untuk membuka pintu kepada perbincangan dengan parti lain,” katanya.
Pada Ogos lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menjemput MCA dan MIC menyertai Perikatan Nasional.
Bulan lalu pula, Timbalan Ketua Pemuda MIC, K Kesavan, menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda Bersatu, dengan Timbalan Presiden parti, M Saravanan, mengesahkan hadir sebagai “wakil” parti selepas menerima jemputan daripada Bersatu. – MADANI NEWS