Gagal ke Piala Dunia, Patrick Kluivert terpaksa ucap ‘Selamat Tinggal’ Indonesia

JAKARTA – Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) hari ini mengumumkan bahawa kontrak bersama ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Patrick Kluivert, ditamatkan lebih awal selepas prestasi hambar skuad Garuda dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.
Dalam satu kenyataan rasmi, PSSI memaklumkan keputusan itu dicapai secara persetujuan bersama (mutual termination) selepas menilai pencapaian pasukan di bawah kendalian legenda bola sepak Belanda itu tidak memenuhi sasaran yang ditetapkan.
“Kami berterima kasih atas dedikasi dan kerja keras Patrick Kluivert serta pasukannya. Namun, selepas penilaian menyeluruh, PSSI dan beliau sepakat untuk mengakhiri kerjasama ini,” kata persatuan itu.
Kluivert, yang dilantik pada awal tahun ini dengan kontrak sehingga 2027, gagal membawa Indonesia melepasi pusingan keempat kelayakan Piala Dunia selepas beberapa keputusan mengecewakan termasuk kekalahan kepada Arab Saudi dan Iraq.
Penamatan kontrak itu turut melibatkan keseluruhan barisan kejurulatihan warga Belanda yang dibawa Kluivert, merangkumi pasukan senior, bawah 23 tahun dan bawah 20 tahun.
PSSI dijangka akan mengumumkan pengganti sementara dalam masa terdekat sementara proses penilaian semula hala tuju pembangunan bola sepak negara dijalankan.
Pelantikan Kluivert sebelum ini disambut dengan harapan tinggi berikutan reputasinya sebagai bekas penyerang Barcelona dan Ajax Amsterdam, namun kegagalan menepati sasaran telah menamatkan tempoh singkat beliau bersama skuad Garuda. – MADANI NEWS