KOVE Moto gegar Malaysia! Dua model baharu 800X GT, 450R dilancar | Madani News

KOVE Moto gegar Malaysia! Dua model baharu 800X GT, 450R dilancar

KOVE Moto gegar Malaysia! Dua model baharu 800X GT, 450R dilancar
Dua model terbaharu KOVE Moto, 800X GT dan 450R dilancarkan Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia, Datuk Wee Hong; Pengarah Urusan Suzuki Malaysia, Datuk Jeffrey Lim (kiri) dan Penolong Pengurus Besar, MDua Motor Sdn. Bhd., Micheal Yeoh (kanan) di Rawang hari ini.

JENAMA motosikal berprestasi tinggi dari China, KOVE Moto, kini sah menembusi pasaran Malaysia dengan pelancaran dua model terbaharu — KOVE 800X GT dan KOVE 450R — masing-masing menyasarkan segmen kembara dan jalanan berkuasa tinggi.

Malah, Malaysia menjadi negara pertama pelancaran global bagi model 450R. 

Majlis pelancaran berlangsung di KEV Advenduro, Rawang, dengan kehadiran pengamal media, pengedar serta komuniti permotoran tempatan yang teruja menyaksikan kemunculan rasmi jenama yang semakin mencipta nama di peringkat global itu.

Pengedar tunggal dan eksklusif KOVE di Malaysia, MDua Motor Sdn Bhd, anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI), yakin kemasukan KOVE akan menjadi penanda perubahan dalam landskap pasaran motosikal tempatan yang semakin pesat dan kompetitif.

Walaupun kebanyakan model KOVE ketika ini ditawarkan sebagai unit CBU (Completely Built-Up), kerjasama strategik antara MDua dan AMI bakal membuka jalan kepada pemasangan tempatan (CKD) di masa depan, bagi menjamin bekalan alat ganti, perkhidmatan selepas jualan dan jaminan kualiti yang setara dengan piawaian global KOVE.

Diasaskan pada tahun 2017 oleh seorang pelumba di China, KOVE Moto lahir daripada minat mendalam terhadap perlumbaan motosikal. Jenama ini membina reputasi antarabangsa melalui rekaan dan kejuruteraan tersendiri yang memfokuskan kepada prestasi, ketahanan dan keseimbangan sempurna antara kuasa serta kawalan.

Berpegang pada falsafah “Focus on Performance”, setiap jentera KOVE dibangunkan hasil R&D, reka bentuk dan pembuatan yang dijalankan sepenuhnya secara dalaman — menjadikannya motosikal ringan, kukuh dan bersedia untuk terus ke arena perlumbaan sebenar.

Dua model yang menjadi tumpuan utama pelancaran ialah KOVE 800X GT dan KOVE 450R, masing-masing membawa DNA prestasi yang mencerminkan semangat dan kejuruteraan KOVE.

Model KOVE 800X GT ialah motosikal kembara berprestasi tinggi yang dikuasakan enjin 799cc parallel-twin, menjana 97hp dan 80Nm tork. Ia hadir dengan sistem pendikit elektronikempat mod tunggangan (Sport, Comfort, Rain, Off-Road)Quick Shift, dan suspensi KYB untuk kestabilan optimum. Dengan berat hanya 195 kilogram, tangki bahan api 22 liter, serta pemanas pada trotel dan tempat duduk, model ini ideal untuk pengembaraan jarak jauh yang selesa.

Model ini ditawarkan pada harga RM48,888, di mana 20 pembeli terawal akan menerima set kotak pannier eksklusif secara percuma — menjadikannya tawaran menarik dalam segmennya.

Sementara itu, KOVE 450R pula tampil sebagai motosikal “naked streetfighter” sejati dengan enjin empat silinder linear sebaris 443cc, menghasilkan 65.3hp dan 40Nm tork, serta mampu mencecah kelajuan 205km/j.

Rangka ringan seberat 164 kilogram memberi kawalan yang lincah, manakala dua mod tunggangan (Sport & Comfort), sistem Launch Controlklac Slipper, dan ABS dwi-saluran menjadikannya antara model paling menarik dalam kelasnya. Harga jualan rasmi ialah RM33,888.

Turut dipamerkan ialah model KOVE 450 Rally, yang sudah menambat hati komuniti rali dan off-road tempatan selepas terbukti ketahanannya di pentas Rali Dakar 2022 dan Asia Cross Country Rally 2024.

KOVE turut mencatat sejarah di arena perlumbaan antarabangsa menerusi kejayaan dalam ESBK (Kejohanan Superbike Sepanyol) 2023 serta WorldSSP300 2024, apabila pelumba Julio Garcíamembawa kemenangan pertama jenama China itu di Litar Jerez.

Di Malaysia, Pasukan KOVE Malaysia Racing diketuai pelumba Hazim Hayazi terus memperkukuh reputasi jenama ini selepas beraksi di Thailand, membuktikan kemampuan sebenar jentera KOVE dalam pelbagai keadaan mencabar.

Kesemua model KOVE kini dipamerkan di AMI Bumirai Showroom, Petaling Jaya, dan terbuka untuk tempahan bermula hari ini.

Dengan spesifikasi hebat, teknologi canggih dan harga kompetitif, KOVE bukan sekadar jenama baharu — ia simbol era baharu motosikal berprestasi tinggi di Malaysia. – MADANI NEWS

Ikuti media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews